KUALA LUMPUR 11 Mei – Tenaga buruh Malaysia meningkat 0.7 peratus kepada 15.19 juta orang pada suku pertama 2018 berbanding 15.09 juta dalam suku sebelumnya.
Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan hari ini berkata, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada suku pertama 2018 ialah 68.2 peratus, naik 0.2 mata peratus berbanding suku keempat 2017, dengan 31.8 peratus lagi penduduk dalam kumpulan umur bekerja di luar tenaga buruh.
“Sementara itu, kadar pengangguran turun 0.1 mata peratus kepada 3.3 peratus dalam suku pertama 2018. Bagi tahun ke tahun, bilangan tenaga buruh dan penduduk bekerja masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 2.3 peratus, manakala bilangan penduduk menganggur susut 1.0 peratus.
“Kadar pengangguran dalam suku pertama 2018 turun 0.2 mata peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya. Kadar penyertaan tenaga buruh dalam pasaran buruh juga bertambah baik meningkat 0.5 mata peratus,” kata jabatan itu.
KPTB perempuan meningkat 0.3 mata peratus mencapai 55.1 peratus pada suku pertama 2018, dengan mereka yang berusia 25-34 tahun pada 74.4 peratus, 35-44 tahun (66.3 peratus) dan 45-54 tahun (58.3 peratus).
KPTB lelaki juga meningkat kepada 80.3 peratus semasa tempoh tersebut, dengan mereka yang berusia 35-44 dan 45-54 tahun mencatatkan peningkatan 0.4 mata peratus masing-masing kepada 97.6 peratus dan 93.8 peratus. – BERNAMA










