Tarikh bicara empat tertuduh kes JANS ditangguh lagi - Utusan Malaysia

Tarikh bicara empat tertuduh kes JANS ditangguh lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menggantung perbicaraan terhadap empat tertuduh bagi kes pengubahan wang haram melibatkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pada satu tarikh yang akan ditetapkan. 

Empat tertuduh tersebut ialah Pengarah JANS, Awang Mohd. Tahir Mohd. Talib, 56; isterinya, Fauziah Piut, 53; Penasihat Teknikal dan Kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah, Lim Lam Beng, 64, dan bekas Timbalan Pengarah JANS, Teo Chee Kong, 53.

Hakim Abu Bakar Manat menetapkan penggantungan perbicaraan akan dilakukan sehingga keputusan permohonan Chee Kong melalui peguamnya, Roland Cheng untuk dibicarakan secara berasingan diluluskan di Mahkamah Rayuan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada 18 Mei lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan perbicaraan Chee Kong di Mahkamah Sesyen digantung sehingga keputusan permohonan rayuan ditetapkan.

Mengikut pertuduhan, Chee Kong berhadapan 146 kes pengubahan wang haram melibatkan RM32 juta pada tahun 2016.

Sementara tiga lagi tertuduh, Awang, Fauziah dan Lam Beng juga didakwa melakukan pengubahan wang haram sejumlah RM61.48 juta dan memiliki barang mewah hasil daripada aktiviti haram pada tahun yang sama.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Tengku Amir Zaki berkata, perbicaraan terhadap kesemua tertuduh perlu dilakukan serentak kerana kesemua mereka melibatkan saksi yang sama.

Mahkamah menetapkan tarikh antara November hingga Disember tahun ini bagi perbicaraan terhadap keempat-empat tertuduh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN