PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mahu menghapuskan kewujudan sindiket lesen terbang atau juga dikenali sebagai ‘Lesen Kopi O’ dan ‘Pau Kawtim’ dengan mewujudkan sistem automasi ujian memandu serta pemasangan kamera dalam kenderaan.
Jelas beliau, sistem tersebut yang akan dilaksanakan akhir tahun ini secara berperingkat akan membolehkan ujian dilakukan tanpa melibatkan tenaga manusia dan calon pemandu yang mengambil ujian di litar akan dipantau menerusi satu bilik kawalan khas.
“Bagi ujian di jalan raya pula, kaedah yang lama masih dikekalkan tetapi kita akan meminta Institut Memandu untuk memasang kamera dalam kenderaan bagi membolahkan calon pemandu membuat aduan sekiranya terdapat usaha untuk menggagalkan calon oleh penguji,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja bersama JPJ di sini hari ini.
Sehubungan itu, Anthony turut mengarahkan kepada pegawai integriti kementerian untuk melaksanakan satu kempen khas dengan menampalkan pelekat pada kenderaan Institut Memandu supaya memastikan calon dan penguji tidak memberi dan menerima rasuah. – K! ONLINE










