Sifar GST pacu ekonomi - Utusan Malaysia

Sifar GST pacu ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Mei – Langkah mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar berkuat kuasa 1 Jun ini akan dapat memacu pertumbuhan kitaran ekonomi secara keseluruhan, seterusnya membolehkan syarikat membayar cukai perniagaan yang lebih baik kepada kerajaan.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin), Datuk Dr. Ameer Ali Mydin ber­kata, sumber kewangan keraja­an sebanyak RM42 bilion mungkin akan berkurangan, tetapi dengan ketiadaan GST, rakyat mempunyai RM42 bilion untuk dibelanjakan.

Katanya, apabila rakyat kembali ya­kin dan mempunyai wang yang lebih untuk berbelanja, ini bermakna ia akan membantu mening­katkan penggunaan domestik.

“Ekonomi negara akan mene­rima manfaat daripada RM42 bilion yang tidak dikutip daripada rakyat justeru menyumbang kepada nilai jualan dan meningkatkan jumlah cukai perniagaan kepada kerajaan.

“Syarikat tidak mempu­nyai masalah membayar cukai kepada kerajaan, ia bukannya satu jumlah yang terlalu besar, bukan 100 peratus,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen Girang Syawal Tiba 2018 di sini hari ini.

Kementerian Kewangan da­lam satu kenyataan hari ini menetapkan bekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat di dalam Malaysia serta barang dan perkhidmatan yang diimport adalah sifar GST.

Mengulas tentang itu dengan lebih terperinci, Ameer berkata, Mydin memiliki sebanyak satu juta barangan untuk ditukarkan harga kepada bukan sahaja pada sistem malah stok di gudang.

“Nampaknya kakitangan My­din perlu bekerja lebih, dalam tempoh dua minggu ini dan mungkin terpaksa berbuka puasa di pejabat. Tetapi tidak me­ngapa, lebih baik bersusah dahulu dan bersenang kemudian.

“Saya yakin penukaran daripada GST kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan lebih berjalan lancar berbanding SST kepada GST sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, sempena kempen yang baharu dilancarkan, Mydin membuat kejutan dengan mengeluarkan lagu raya berjudul Girang Syawal Tiba yang dinyanyikan oleh enam artis di bawah naungan syarikat rakaman FMC.

Lagi itu akan dipromosikan oleh artis-artis terlibat terma­suk Haqiem Rosli dan Erni Zakri di beberapa cawangan Mydin terpilih sepanjang bulan Ramadan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN