JOHOR BAHRU – Pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Bandaraya Iskandar Puteri, Skudai dekat sini di sini bertukar kecoh apabila berlaku salah faham berikutan sebuah kereta yang membawa peti undi masuk ke kawasan itu melalui jalan salah.
Kejadian berlaku pukul 8 malam itu dipercayai berlaku selepas salah seorang Ketua Pusat Mengundi dan pemandu kereta Proton Exora tersilap jalan apabila menggunakan laluan yang telah ditutup dengan dawai besi.
Sekumpulan lelaki yang berada di kawasan berkenaan yang curiga dengan kehadiran kereta yang membawa peti undi itu cuba menghalang kereta berkenaan hingga berlaku kekecohan selama kira-kira 10 minit.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad bagaimanapun berkata, kekecohan itu berjaya dikawal oleh anggota polis yang bertugas.
“Selepas diberi penjelasan, Ketua Pusat Mengundi itu kemudiannya dibenarkan masuk ke pusat penjumlahan undi berkenaan sambil diperhatikan ejen tempat mengundi dan kira undi (Paca) bagi calon yang bertanding,” katanya di sini sebentar tadi. – K ONLINE!










