‘Sayangkan seseorang kerana Tuhan’ - Utusan Malaysia

‘Sayangkan seseorang kerana Tuhan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIAK bahagia wanita jelita ini tampak sesuatu yang bukan dibuat-buat. Usai hampir dua bulan disunting menjadi isteri yang sah buat jejaka idaman bernama Mohamed Mustain Mohamed Adnan, 36, pada 18 Mac lepas, tiada lain yang membahagiakan figura popular, Nonny Nadirah, 29, bila mana melayari bahtera rumah tangga hingga ke hujung nyawa.

Tidak sekelumit perasaan goyah menghambat jiwa pemilik nama sebenar Nonny Nadirah Zainuddin ini kononnya saham sebagai seorang aktres berkaliber bakal pudar sebaik mengemas kini notis pertukaran status sebagai seorang isteri.

Percaya dengan setiap ketentuan Tuhan, kemilau wanita yang digilap menerusi program Akademi Fantasia (AF) musim kelima lebih satu dasawarsa lampau itu percaya ia sekadar satu stigma skeptikal yang sengaja dicipta segelintir khalayak.

“Saya tidak pernah mempercayai tanggapan sedemikian. Ia sama dengan tanggapan kononnya akan kurang menerima tawaran sebaik berhijab.

“Ini semua rezeki ketentuan Tuhan. Jika belum ada rezeki, belum berkahwin pun masih ada pelakon yang dianggap sendu dan tak laku.

“Selagi memberikan komitmen yang baik setiap kali diberikan tawaran, sudah tentu peluang itu ada,” ujarnya penuh makna kepada Sensasi Bintang.

Bukan sedikit yang terpaksa diharungi Nonny ketika memartabatkan namanya lebih 10 tahun dalam gelanggang seni, itu belum dikira terpaksa tidur di bawah jambatan selain terkial-kial tidak diuruskan sesiapa menahan tujahan dan permainan industri sebelum ini.

Cuma, ia dihadam Nonny dengan penuh getir dan nah hasilnya, ratu antagonis ini berjaya memukau khalayak terutamanya keberkesanan wataknya sebagai Suhana dalam drama Melankolia tidak lama dahulu.

“Saya puas kerana dapat membuktikan saya seorang yang versatil dalam drama berkenaan dan bukan sekadar dibayangi imej watak antagonis.

“Jika diimbau semula, rezeki saya dalam AF juga sekadar bertahan di minggu keempat, namun saya gembira dengan apa yang dimiliki sekarang,” getusnya.

Tidak hairanlah, Nonny benar-benar menghargai setiap peluang yang ada kendatipun sedikit kecewa apabila wajah-wajah baharu dilihat seakan-akan menjadikan lakonan sebagai lubuk glamor.

“Ada yang bagus, namun ramai juga yang sekadar tangkap muat. Saya sentiasa percaya apabila memiliki kualiti, populariti akan datang dengan sendirinya.

“Biarpun sekadar memiliki 284,000 pengikut di Instagram, saya berbangga apabila peminat masih boleh sebut satu persatu drama lakonan saya,” ceritanya lagi.

Pesan ibu

Disebabkan itu, sudah tiba masanya buat Nonny mengehadkan penampilannya di layar kaca, sementelahan pula dengan statusnya yang sudah bergelar isteri orang.

Bukan kerana sang suami cemburu, namun dramatis itu mahu meneroka semula impiannya sebagai seorang penyanyi rentetan kekangan masa menguruskan rumah tangga.

Ia dapat dilihat menerusi single keduanya selepas sembilan tahun, Tinta Cahaya yang juga lagu runut bunyi drama Melankolia disifatkan berjaya mengejutkan semula ingatan khalayak yang selama ini seakan-akan terlupa betapa Nonny juga sebenarnya bukan calang-calang di arena seni suara.

“Alhamdulillah, single berkenaan diterima baik peminat dan ia boleh didengar di mana-mana platform digital. Buat masa ini, saya dan pihak pengurusan juga sedang merangka promosi termasuk supaya ia turut dapat diputarkan stesen-stesen radio tempatan,” jelasnya.

Lebih sembilan tahun bercinta, tanpa berselindung Nonny juga mengakui dugaan dalam perhubungan sentiasa ada, cuma kalau sudah jodoh segalanya diterima dengan berlapang dada.

“Saya sentiasa mengingati pesan ibu supaya sayangkan seseorang kerana Allah, sebab itu saya sanggup menunggunya selama sembilan tahun.

“Kalau nak tahu, di awal perkenalan kami, saya tidak tahu yang dia seorang duda sementara dia juga tidak tahu saya sebenarnya artis sebelum suami akhirnya mencari maklumat tentang saya di enjin carian Google,” ungkapnya melentur tawa di bibir.

Mengakui cukup rapat dengan anak tirinya, Mikhael Audi Putra, 12, sejak kanak-kanak itu berusia tiga tahun, Nonny dan suami juga tidak pernah merancang kehadiran ahli keluarga baharu dalam masa terdekat sementelahan pula dia memang cukup sukakan kanak-kanak.

“Ada rezeki anak, tidak akan tolak. Lagi awal lagi bagus cuma saya memahami kerjaya suami yang benar-benar sibuk sebagai penolong penerbit.

“Soal jantina pun tidak kisah asalkan sihat walafiat,” ujarnya menguntum senyum.

Hormat suami

Jangan tak percaya, Nonny juga bertuah kerana Mustain yang menentukan gaya fesyen dirinya termasuk pemilihan tas tangan yang sesuai gara-gara dirinya yang tidak begitu feminin sejak sekian lama.

“Saya memang seorang yang sempoi dan agak boyish, pergi kemana-mana pun sekadar memakai selipar jepun saja.

“Selain kuat ketawa dan tidak tahu duduk diam, saya juga senang berkawan dengan sesiapa, namun ramai yang menyangka saya sombong pada mulanya,” cerita Nonny yang juga cukup fanatik dengan coklat dan kek cawan.

Memasang impian untuk menjadi isteri yang baik dan sempurna pada kaca mata Mustain, tiada lain yang didambakan Nonny supaya melukis pelangi-pelangi bahagia bersama suami sampai bila-bila.

“Sesibuk mana pun saya akan cuba untuk memasak, selain meminta izin suami terlebih dahulu sebelum keluar ke mana-mana.

“Saya juga memanjat rasa syukur kerana majlis perkahwinan tempoh hari berjalan lancar meskipun tanpa mendapatkan bantuan mana-mana perancang perkahwinan,” ujarnya seraya menoktah bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×