KUALA LUMPUR 10 Mei – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menganggap rakyat negara ini sudah semestinya mahukan janji-janji Pakatan Harapan dikotakan dalam bentuk realiti serta ‘nampak di mata’ dalam tempoh 100 hari pertama mereka memegang tampuk pemerintahan negara.
Presiden JMM, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, apabila rakyat sudah memuktamadkan keputusan untuk memilih kerajaan Pakatan Harapan menggantikan kerajaan sebelum ini, ia menandakan mereka sudah bersedia menilai kemampuan kerajaan baharu itu dalam merealisasikan manifestonya dalam masa yang singkat.
“Rakyat inginkan perkara yang digariskan betul-betul ‘konkrit’ serta benar-benar boleh diwujudkan dalam tempoh yang dijanjikan. Itu sebenarnya indikator penting jika mereka (Pakatan Harapan) benar-benar serius dalam mengurangkan beban rakyat.
“Sekarang, saya yakin rakyat sudah tidak sabar menunggu perkhabaran itu ditunaikan secara realiti dan bukan hanya ‘cakap-cakap kosong’,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pakatan Harapan menggariskan 10 perkara bagi meringankan beban rakyat dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan baharu tersebut sebagai janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
![]() |
|
Zambri Mohd. Isa
|
Dalam nada serupa, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, selepas ini, rakyat akan meletakkan diri mereka sebagai ‘penilai’ sama ada kerajaan yang baharu ditubuhkan itu mampu menunaikan kesemua janji mereka ataupun tidak dalam tempoh berkenaan.
“Saya masih tidak mampu mengagak sejauh mana keberkesanan kaedah yang akan digunakan dalam tempoh masa yang singkat itu. Kita tunggu dan lihat bagaimana perjalanan manifesto berkenaan mampu memenangi dan seterusnya menambat hati rakyat.
“Rakyat berbilang kaum negara kita sebenarnya prihatin jika disentuh hal berkaitan peningkatan taraf hidup. Makanya, 100 hari pertama kerajaan baharu itu akan terus menjadi tumpuan mata dan telinga rakyat,” ujarnya.











