Rangel bakal sarung jersi Kedah - Utusan Malaysia

Rangel bakal sarung jersi Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) mengha­rapkan bekas penyerang Selangor, Terengganu dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Paulo Rangel akan dapat ber­aksi bersama skuad Helang Merah pada perlawanan Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 22 Mei ini.

Timbalan Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, Rangel yang merupakan penye­rang import kelahiran Brazil kini mewa­kili kelab Nakhon Ratchasima yang bersaing dalam Liga Thailand.

Katanya, pihaknya ketika ini dalam proses rundingan terakhir sebelum pemain itu menyertai Kedah pada jendela perpindahan kedua bulan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini adalah perancangan yang dibuat Kedah bagi memantapkan serta memperkasakan jentera serangan untuk menghadapi Liga Super dan aksi Piala Malaysia musim ini yang semakin sengit,” katanya pada sidang akhbar di Alor Setar semalam.

Rangel merupakan antara tiga penyerang import yang berada dalam radar skuad Helang Merah sebelum ini.

Dua lagi penyerang import itu ialah Sylvano Comvalius yang kini beraksi bersama kelab Suphanburi FC di Thailand dan pemain yang pernah bersama Kuantan FA berasal dari Montenegro, Zarko Korac.

Prestasi pemain import Kedah ketika ini iaitu ­Pablo Palares didapati kurang menye­ngat memaksa pe­ngurusan membuat peranca­ngan untuk mencari seorang penyerang yang mempunyai pengalaman dan memiliki ke­upayaan terbaik sebagai penjaring.

Syed Unan Mashri berkata, kehadiran penyerang import baharu itu diharapkan dapat menajamkan jentera serangan pasukan Kedah dalam usaha memburu kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Saya percaya Rangel akan dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama skuad Helang Merah kerana beliau pernah beraksi dalam Liga Malaysia sebelum ini,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN