BAGHDAD – Rakyat Iraq semalam mengundi buat kali pertama sejak mencapai kemenangan ke atas kumpulan militan Daesh bagi memilih ahli parlimen.
Pengundi keluar dari kawasan-kawasan perang untuk membuang undi dengan kawalan ketat anggota keselamatan kerana ancaman militan masih tinggi.
Sebanyak 7,000 calon bertanding pada pilihan raya kali ini bagi merebut 329 kerusi parlimen.
Hampir 24.5 juta pengundi bakal menentukan landskap politik Iraq selepas lima bulan kumpulan Daesh ditewaskan, sekali gus mewujudkan dua kawasan iaitu yang didominasi oleh puak Syiah, manakala satu lagi Sunnah.
Di satu pusat membuang undi di daerah Karrada di Baghdad, seorang pengundi, Sami Wadi, 74 , melaungkan kata-kata ‘selamatkan negara’.
“Saya minta semua rakyat Iraq supaya keluar menyertai pilihan raya bagi menyingkirkan pihak yang menguasai kerajaan sejak 2003,” kata pesara itu.
“Saya membuang undi untuk keselamatan dan kestabilan ekonomi dan untuk masa depan yang lebih baik,” kata buruh, Ali Fahmi, 26.
Perdana Menteri, Haider al-Abadi yang dilantik pada 2014 berusaha mendapat mandat bagi penggal baharu terutama atas kejayaan menentang militan dan meredakan tuntutan Kurdish untuk mendapat kemerdekaan.
Beliau bagaimanapun ditentang sengit daripada komuniti Syiah yang mendominasi politik Iraq. – AFP









