PASIR SALAK 14 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, rakyat di sini menerima penjelasannya berhubung keputusannya memberi sokongan kepada Pakatan Harapan Perak.
Menurutnya, dalam beberapa sesi perjumpaan dengan mereka di sini sejak petang semalam, beliau terkejut dengan jumlah kehadiran rakyat yang datang untuk mendengar
penjelasannya.
Beliau berkata, perkara utama yang beliau jelaskan ialah keputusan yang dibuatnya itu ialah demi kepentingan rakyat di Sungai Manik semata-mata.
“Saya jelaskan kepada mereka bahawa kita memerlukan kerajaan negeri yang seiringan dengan pentadbiran di peringkat Pusat. Saya melihat atas dasar itu untuk saya dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat, maka keputusan yang diambil itu demi kepentingan masyarakat DUN Sungai Manik.
“Mereka menerima penjelasan saya dan memahami apa yang berlaku dan perkara yang sebenarnya. Keputusan itu bukan soal kepentingan peribadi seperti yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan
dengan penduduk di sini hari ini.
Semalam, Zainol Fadzi mengakui beliau dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi merupakan wakil rakyat BN yang menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan Perak.
Menurut Zainol Fadzi, jika demi kepentingan diri, pada hari pertama selepas hari mengundi Rabu lalu lagi beliau sudah menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan.
Beliau berkata, namun beliau mengambil masa selama tiga hari untuk membuat keputusan.
“Keputusan yang saya ambil adalah demi kepentingan dalam penubuhan kerajaan negeri yang perlu disegerakan. Atas dasar itu saya memberi sokongan kepada calon yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan untuk menjadi Menteri Besar,” katanya.
Zainol Fadzi yang merupakan bekas exco kerajaan negeri sekali menegaskan beliau tidak menetapkan sebarang syarat apabila bersetuju menyatakan sokongan kepada calon
Menteri Besar yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan.
“Walaupun pada peringkat awal saya diberikan tawaran tapi saya menolak dengan baik sehinggalah pada 12 hari bulan (Sabtu) saya setuju tanpa syarat, niat saya hanya ingin menyokong calon yang dikemukakan sebagai Menteri Besar oleh Pakatan Harapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










