KUALA LUMPUR 12 Mei – Jaguh negara, Rayzam Shah Wan Sofian berada dalam kelas tersendiri apabila mengungguli perlumbaan akhir acara lari berpagar 110 meter (m) dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 walaupun dua kali mengalami kejang kaki ketika sesi memanas badan di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Rayzam yang mewakili Sabah menamatkan larian dengan masa 14.12 saat (s) dalam acara yang bermula lewat sejam daripada jadual asal manakala pencabarnya Al Youha Yaqub dari Kuwait di tempat kedua dengan catatan 14.17s.
Pingat gangsa menjadi milik Clinton Kingsley Bautista dari Filipina yang mencatat 14.27s.
“Pada mulanya mood saya untuk berlari sudah tiada kerana acara saya lewat hampir sejam untuk dilangsungkan kerana hujan lebat namun selepas melihat kesungguhan pencabar lain saya kuatkan semangat untuk menewaskan mereka.
“Ketika sesi memanas badan sementara menunggu acara bermula dua kali kaki saya kejang dan apabila dapat menewaskan lawan dari Kuwait membuatkan saya merasa puas hati kerana dia adalah antara prospek untuk mendapat pingat dalam Sukan Asia nanti.
“Walaupun meraih kemenangan hari ini namun saya tidak boleh terlalu selesa kerana catatan masa masih belum berada di bawah 14s, bermakna saya perlu berusaha lebih gigih lagi selepas ini,” katanya selepas menamatkan perlumbaan.
Catatan peribadi terbaik Rayzam ialah 13.67s yang merupakan rekod kebangsaan ketika menyertai kejohanan di Jerman pada tahun lalu manakala catatan terbaiknya Rayzam musim ini adalah 14.01s yang dilakukan dalam Kejohanan Jemputan Sukan Asia di Indonesia awal tahun ini.
Sementara itu, dalam saingan 100m lari berpagar wanita, atlet negara Raja Nurheena Raja Azhar dinobat sebagai pemenang selepas mengungguli perlumbaan akhir dengan catatan 13.93s yang merupakan catatan terbaiknya musim ini.
Pingat perak menjadi milik atlet Singapura, Nur Izlyn Zaini dengan catatan 14.41s manakala Jo Eun-ju dari Korea Selatan membawa pulang pingat gangsa dengan masa 14.45s.










