Rafizi diminta berhenti bersikap buruk - Utusan Malaysia

Rafizi diminta berhenti bersikap buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Mei – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dinasihatkan menyuarakan sebarang rasa tidak puas hati berhubung pelantikan tiga menteri kanan Kabinet baharu menggunakan saluran parti secara profesional demi menjaga imej perpaduan Pakatan Harapan.

KHAIRUDDIN
KHAIRUDDIN

Penyelaras Gerakan Deklarasi Rakyat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, hal demikian ini kerana tindakan Rafizi yang memilih untuk meluahkan pendiriannya menerusi media dianggap boleh merugikan Pakatan Harapan.

Malah, beliau turut mempersoalkan motif sebenar pemim­pin itu berbuat demikian yang dikhuatiri boleh menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang baru dibentuk.

“Mengapa Rafizi Ramli harus meluahkan perasaan tidak puas hatinya melalui media? Apa motif sebenar beliau? Nak kata tidak cerdik, dia Naib Presiden PKR. Nak kata dia tidak bijak, beliau banyak mendedahkan isu-isu negara secara berkesan.

”Tetapi dalam isu menzahirkan perasaan tidak puas hatinya mengenai pelantikan tiga jawatan Kabinet, beliau pilih untuk bercakap kepada media. Apakah Rafizi sengaja hendak jahanamkan struktur perpaduan Pakatan Harapan? Adakah beliau hendak bagi rakyat hilang keyakinan kepada Pakatan Harapan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Rafizi mendakwa pengumuman tiga menteri kanan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dibuat tanpa perbincangan dengan partinya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan; Presiden PPBM, Tan Sri Muh­yiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri) dan Presiden PAN, Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan).

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, Rafizi boleh meluahkan apa sahaja pandangannya secara tertutup memandangkan Pakatan Harapan mempunyai platform dan saluran dalaman parti yang sedia mendengar.

Justeru, beliau meminta Rafizi berhenti daripada bersikap buruk demikian.

“Saya hendak tanya Rafizi, apa untungnya beliau suka bercakap mengenai dasar, keputusan serta pendirian Pakatan Harapan melalui saluran media?

“Bagi saya, beliau harus berhenti bersikap buruk seperti ini. Beliau berhak bercakap mengenai apa saja tetapi jangan sampai boleh membinasakan keyakinan rakyat pada Pakatan Harapan itu sendiri,” katanya.

Khairuddin turut menggesa kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli yang gemar menegur menggunakan platform media berban­ding saluran dalaman yang betul.

“Seikhlasnya, saya amat mencurigai serta kecewa dengan tindakan kurang bijaksana Rafizi kerana boleh mengundang padah pada Pakatan Harapan secara menyeluruh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×