KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) membantah sikap Amerika Syrikat yang tidak memperdulikan bantahan masyarakat antarabangsa dalam isu menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.
Yang Dipertua PUM, Datuk Al-Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, ini kerana pada 6 Disember 2017, presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengeluarkan kenyataan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan hari ini (14 Mei) Amerika telah ‘mengotakan janji’ dengan memulakan inisiatif memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.
Katanya, kerajaan PH di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu mengeluarkan pendirian rasmi berhubung hal ini di samping menyeru persidangan tergempar OIC untuk membincangkan perkembangan yang sedang berlaku di Baitulmuqaddis.
“Amerika Syarikat jelas menzahirkan sikapnya yang tidak menghormati pendirian masyarakat dunia jika mengambil kira 128 negara yang membantah pendirian mereka (Amerika Syarikat) dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan isu ini,” katanya dalam satu kenyataan. – Bernama










