KUALA TERENGGANU 24 Mei – Walaupun PPBM sebagai sebuah parti baharu belum dapat diterima oleh rakyat negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun kemenangan Pakatan Harapan di peringkat Pusat mulai mengubah persepsi terhadap parti itu.
Pengerusi PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris menjelaskan ramai yang mula memperlihatkan keinginan secara terbuka untuk bersama membantu memperkukuhkan PPBM malah jumlah keahlian di negeri ini dijangka melonjak kepada 6,000 orang sehingga penghujung tahun ini.
“Sebelum PRU-14, jumlah keahilan cuma 1,880 dan kini banyak borang telah diedarkan,dan kemasukan lebih ramai nanti akan memperkasakan parti, “ katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar PPBM di Kuala Ibai di sini, petang semalam.
Dalam PRU-14, PPBM Terengganu gagal memenangi sebarang kerusi daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri dan tiga Parlimen yang ditandinginya.
Namun Razali yakin melalui gerak kerja bersama parti-parti komponen Pakatan Harapan, kemenangan yang dianggap tertangguh di negeri ini akan dicapai dalam PRU-15.
Menurut Razali, walaupun PPBM bersama parti komponen lain dalam Pakatan Harapan tewas di negeri ini, tetapi akan tetap berperanan sebagai penghubung dengan pemerintah di peringkat Pusat.
“Kita bersikap terbuka dan ingin bekerjasama dengan kerajaan Pas Terengganu dalam apa bentuk sekalipun demi kepentingan rakyat walaupun tidak sealiran.
“Maka kita perlu mencari jalan atau kaedah untuk bekerjasama, bukan sahaja soal royalti minyak tetapi juga melibatkan peruntukan-peruntukan lain yang ada di bawah pelbagai kementerian,”ujarnya.
Razali membayangkan kemungkinan royalti minyak tidak akan disalurkan terus kepada kerajaan Pas dalam memastikan hasil itu terarah kepada program pembangunan rakyat dan negeri.-UTUSAN ONLINE










