KUALA LUMPUR 24 Mei – Polis menumpaskan sindiket penyeludupan dadah jenis kokain yang dipercayai untuk pasaran Australia apabila barang terlarang yang bernilai RM529, 000 tersebut dirampas dalam dua serbuan di sekitar Lembah Klang pada Selasa lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, serbuan pertama dibuat di sebuah rumah di Puchong yang membawa kepada penangkapan seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun.
“Serbuan kedua dibuat di sebuah syarikat kurier di Chan Sow Lin yang mana dadah tersebut cuba diseludup ke Australia oleh ahli sindiket terbabit dengan meletakkan di dalam bungkusan absorber (penyerap hentakan) kereta.
“Sejumlah 2.65 kilogram ditemukan dalam bungkusan absorber tersebut. Harga pasaran kokain ini bernilai 200,000 dolar Australia (RM602,970) sekilogram di negara itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Cheras di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










