KUALA LUMPUR 14 Mei – Home Direct Shopping Sdn.Bhd. (HDS) memaklumkan pihaknya tidak pernah menghantar sebarang pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp yang menyatakan penerima merupakan pemenang hadiah utama Kempen Promosi Best Products dan menjemput mereka untuk hadir ke pejabat HDS bagi menuntut hadiah wang kemenangan sebanyak RM150,000.
HDS dalam satu kenyataan memberitahu, pesanan ringkas tersebut adalah palsu dan menggesa orang ramai untuk mengabaikan sebarang pesanan yang diterima oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menipu mereka.
Berikutan isu ini, pihak HDS telah membuat laporan polis untuk mengambil tindakan yang sewajarnya dan orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lebih lanjut, boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Home Direct Shopping di talian 03-27166333.
HDS merupakan sebuah syarikat di Malaysia yang menyediakan khidmat pesanan pos bagi pelbagai produk harian yang dipasarkan melalui katalog di bawah jenama Best Products. -UTUSAN ONLINE
Habis//











