BUTTERWORTH 24 Mei – Seorang pengawal keselamatan ditahan kerana memiliki sejumlah dadah dalam serbuan di tepi jalan hadapan Pangsapuri Ampang Jajar Mak Mandin di sini awal pagi ini.
Dalam serbuan pada pukul 1 pagi tadi, pemeriksaan polis menemukan satu plastik hitam di dalam poket seluar lelaki berusia 21 tahun itu yang mengandungi satu paket
lutsinar berisi dadah disyaki heroin seberat 57 gram (g) dan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja yang dianggarkan seberat 8 g.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan mendapati dadah tersebut dijual di sekitar kawasan Mak Mandin dan dianggarkan berharga RM1,120.
“Ujian air kencing ke atas suspek yang berasal dari Nibong Tebal itu mendapati dia negatif dari sebarang jenis dadah namun memiliki rekod berkaitan dadah sebelum ini.
“Dia kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 30 Mei untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sek 6 Akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-UTUSAN ONLINE










