Pencarian pesawat MH370 berakhir - Utusan Malaysia

Pencarian pesawat MH370 berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 29 Mei – Syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity hari ini mengesahkan bahawa misi pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang telah berakhir.

Ocean Infinity dalam satu ke­nyataan hari ini berkata, syarikat itu telah menjalankan pencarian dan mengumpul data berkualiti tinggi meliputi kawasan seluas lebih 112,000 km persegi dan berjaya mengatasi keadaan dan kawasan dasar laut yang mencabar.

“Keluasan kawasan yang diliputi dalam masa lebih tiga bulan operasi adalah jauh melebihi sasaran awal iaitu 25,000 km persegi dan hampir sama dengan kawasan pencarian sebelumnya dalam tempoh dua setengah tahun,” kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett merakamkan rasa dukacita semua pihak di Ocean Infinity kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam MH370.

“Sebahagian daripada motivasi kami untuk menyambung semula pencarian ialah cuba merungkaikan beberapa jawapan kepada mereka yang terlibat. Oleh itu, kami dengan hati yang amat berat mengakhiri usa­ha pencarian tanpa mencapai matlamat itu,” kata Plunkett.

Beliau berkata, Ocean Infinity sangat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberi tawaran dan peluang kepada syarikat tersebut untuk menyam­bung semula misi pencarian.

Komitmen yang dizahirkan oleh kerajaan baharu di Malaysia untuk memberi keutamaan kepada usaha menjejaki MH370 adalah sangat baik untuk dide­ngar, kata Plunkett.

“Walaupun hasil misi pencarian itu setakat ini amat mengecewakan, tetapi sebagai sebuah syarikat, kami amat berbangga dengan apa yang telah kami capai dari segi kualiti data yang kami hasilkan dan kecepatan tempoh masa yang telah diliputi dalam misi pencarian merangkumi kawasan yang luas. Belum pernah misi pencarian dasar laut laut berskala ini dijalankan dengan begitu cekap dan berkesan sebelumnya,” kata beliau.

Beliau juga berkata, Ocean Infi­nity dengan ikhlas berharap syarikat itu sekali lagi dapat menawarkan khidmatnya dalam pencarian MH370 pada masa akan datang.

Ocean Infinity juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan di atas kapal Seabed Constructor yang telah ber­usaha dengan gigih tanpa penat dan juga kepada semua syarikat, organisasi dan individu yang memberi sokongan, bimbingan dan nasihat yang tidak ternilai.

Pihak berkenaan juga meng­ucapkan terima kasih kepada kakitangan di Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang dedikasi mereka usaha menjejaki pesawat tersebut tidak pernah pudar dan layak diberi pujian, kata Plunkett. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN