KUALA PILAH 12 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan negeri mengiktiraf pencapaian cemerlang yang ditonjolkan Menteri Besar daripada Barisan Nasional (BN) sebelum ini, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam membangunkan Negeri Sembilan.
Justeru Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, Aminuddin Harun berjanji akan mengekalkan polisi sedia ada, malah komited untuk melakukan penambahbaikan secara berterusan.
“Apa sahaja yang terbaik untuk rakyat, kami tetap kekalkan, malah akan melakukan penambahbaikan bagi kelangsungan rakyat.
“Kepada Menteri Besar yang lalu, seluruh anggota Exco dan penjawat awam yang terlibat, kami rakamkan ribuan terima kasih,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu di Istana Besar Seri Menanti di sini.
Aminuddin, 51, mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam satu istiadat yang berlangsung di Ruang Legar Istana Seri Menanti pada pukul 10.40 pagi.
Yang hadir sama mengiringi baginda semasa istiadat ialah Tuanku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama dua anakanda baginda, Tunku Ali Redhauddin serta Tunku Zain Al’Abidin.
Sementara itu ketika ditanya mengenai pembentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri, beliau memaklumkan perkara itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.
“Jawatan dalam barisan Exco juga akan dikekalkan seperti yang sebelum ini,” katanya.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan negeri dilantik sebagai Menteri Besar selepas parti itu menang dengan majoriti mudah di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Rabu lalu, sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri.
Pada PRU-14 itu, Pakatan Harapan memperoleh 20 daripada 36 kerusi DUN, manakala baki 16 kerusi dimenangi oleh BN.










