Pemotong rumput maut dirempuh Nissan Navara - Utusan Malaysia

Pemotong rumput maut dirempuh Nissan Navara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIRI – Seorang pemotong rumput maut apabila dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 43, Jalan Lama Miri-Bintulu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, mangsa, Meli Manggang, 50, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang memotong rumput di tepi jalan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun katanya, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang datang dari arah Bintulu ke Miri tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh mangsa.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Nissan Navara yang berusia 60 tahun itu gagal mengawal kenderaannya apabila tidak menyedari terdapat sebuah van diletakkan di bahu jalan berkenaan.

“Pemandu Nissan Navara itu kemudian dikatakan cuba mengelak daripada merempuh van tersebut lalu terbabas dan melanggar mangsa yang sedang memotong rumput di bahu jalan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, kejadian berkenaan turut mengakibatkan kenderaan pacuan empat roda terbabit terbalik.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×