KUALA LUMPUR – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berkemampuan walaupun gajinya tidak mencecah RM4,000 sebulan bertanggungjawab melangsaikan hutang mereka, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, peminjam yang kurang tanggungan dan berkemampuan menggunakan gaji untuk memenuhi kehendak gaya hidup seperti bercuti dan memiliki telefon bimbit mahal sepatutnya menjelaskan dahulu komitmen pinjaman.
“Perkara ini perlu dilihat secara kes demi kes iaitu kerajaan perlu membezakan antara mereka yang berkemampuan dengan mereka yang tidak mampu.
“Tetapi saya ingin menegaskan, bagi mereka yang berkemampuan untuk bercuti ke luar negara, kamu bertanggungjawab bayar semula pinjaman,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Temu Bual Eksklusif Bernama Radio hari ini.
Anggota Parlimen Muar itu berkata, matlamat utama cadangan penangguhan pembayaran wang pinjaman PTPTN yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bertujuan membantu graduan yang belum bekerja dan yang sudah bekerja tetapi berpendapatan rendah. – Bernama










