BANGKOK – Dua lelaki kelihatan seperti orang “Timur Tengah”, yang disyaki membunuh pensyarah warga Palestin, Dr. Mohamed Fadi Al-Batsh di Setapak bulan lepas, mungkin menggunakan pistol atau submesingan (SMG) dalam melaksanakan misi kejam mereka itu.
Satu sumber keselamatan memberitahu Bernama bahawa pasukan penyiasat juga tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan sepucuk “Uzi”, iaitu submesingan jenis kompak dan mudah disembunyikan, yang sering digunakan anggota pasukan khas.
“Ia boleh jadi pistol atau submesingan. Ya, mungkin juga mereka menggunakan sepucuk ‘Uzi’ (untuk membunuh Al-Batsh),” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini, maklumat itu belum muktamad kerana siasatan masih dijalankan dan perlu menunggu laporan balistik bagi mendapatkan lebih banyak maklumat tentang jenis senjata yang digunakan suspek.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun baru-baru ini berkata, pihaknya sedang menunggu laporan balistik tentang jenis senjata yang digunakan pembunuh. – Bernama










