SHAH ALAM 22 Mei – Retak tengkorak kepala, patah tangan kiri selain cedera di muka dan anggota badan.

Itu kesakitan yang terpaksa ditanggung seorang warga emas, Saadiah Yahya, 64, selepas dipukul dengan kejam dipercayai menggunakan batang besi oleh penjenayah yang memecah masuk kediamannya di Seksyen 18, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam ketika umat Islam sedang menunaikan solat tarawih itu, penjenayah yang hanya memakai seluar berwarna hitam turut meragut rantai leher mangsa bernilai RM5,000.
Menurut anak angkat mangsa, Muhammad Najmie Othman, 28, kejadian berlaku ketika dia dan ayah angkatnya, Chumem Salim, 69, sedang menunaikan solat Isyak dan tarawih di sebuah masjid berhampiran rumahnya.
“Saya hanya mengetahui tentang kejadian kira-kira 20 minit kemudian melalui panggilan
telefon oleh ayah.
“Apabila menerima panggilan tersebut, saya terus pulang dan setibanya di rumah orang ramai sudah mengerumuni ibu yang cedera serta berlumuran darah sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga angkatnya di Seksyen 18, di sini hari ini.
![]() |
|
MUHAMMAD NAJMIE OTHMAN menunjukan siling yang dipecah oleh penyamun
|
Muhammad Najmie memberitahu, penjenayah tersebut dipercayai menyusup masuk menerusi bumbung rumah dengan membuka atap dan memecahkan siling serta keluar melalui laluan sama.
“Mak memberitahu penjenayah seorang lelaki, datang bersendirian dan tidak pakai baju serta hanya memakai seluar hitam. Ketika kejadian mak sedang menonton televisyen dan lelaki ini meragut rantai leher yang dipakainya.
“Demi meminta pertolongan, mak terpaksa merangkak keluar sehingga ke pintu pagar luar dan bernasib baik apabila ada kanak-kanak bermain di luar sebelum memaklumkan kepada jiran,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira pukul 9.52 malam.
“Siasatan awal mendapati tiada barangan lain kecuali seutas rantai leher dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun serta mendatangkan kecederaan,” katanya.











