Paluan beduk bersahur, berbuka gamit anak desa - Utusan Malaysia

Paluan beduk bersahur, berbuka gamit anak desa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUASANA desa yang dikelilingi pohon merimbun menyuntik perasaan teruja dalam hati Yusmiza Yusof, 43, untuk pulang ke kampung halamannya di Penaga, Pulau Pinang.

Keinginan untuk pulang ke Kampung Permatang Kuang tidak pernah terpadam meskipun sudah hampir dua dekad dia berpindah ke Sungai Petani, Kedah selepas mendirikan rumah tangga.

Lebih-lebih lagi, hari ini merupakan 1 Ramadan 1439 Hijrah.

Pada hemat pembantu di Tabika Kemas Teluk Wang, Sungai Petani itu, Ramadan di Kampung Permatang Kuang sangat istimewa.

Ini kerana pegangan dan tradisi menyambut puasa di kampung itu tidak pernah berubah meskipun negara semakin dihimpit arus pemodenan.

“Perkara yang paling saya tidak sabar ialah mendengar paluan beduk ketika tibanya waktu berbuka dan bersahur,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Permatang Kuang baru-baru ini.

Meskipun beduk signifikan dalam kalangan masyarakat Melayu terdahulu sebagai alat penanda waktu dan perkhabaran berita, ia kini seakan-akan semakin terpinggir.

Paluan beduk kini bukan sahaja tidak kedengaran di bandar tetapi kehilangannya turut dirasai di kebanyakan desa di seluruh negara.

Namun, tradisi itu masih boleh disaksikan oleh masyarakat moden jika berkunjung ke Kampung Permatang Kuang.

Wadah komunikasi

Kampung yang dihuni lebih 2,000 orang penduduk itu mempunyai dua buah beduk yang diletakkan di Balai Lintang Masjid Permatang Kuang.

Kedua-dua beduk berdiameter 90 sentimeter itu diletakkan di atas pelantar yang berbeza ketinggiannya.

Beduk di pelantar rendah digelar sebagai anak manakala ibu di tempat yang lebih tinggi.

Bukan sekadar hiasan, paluan beduk akan kedengaran pada bulan Ramadan bagi menandakan waktu berbuka dan bersahur serta wadah komunikasi memaklumkan tentang kematian dan bencana.

Seorang penyelia perniagaan katering, Mohd. Shafiq Mohd. Soleh, 21, berkata, setiap lapisan masyarakat sudah terdidik mengenai ‘bahasa’ beduk di kampung itu.

Katanya, jika beduk dipalu pendek sebanyak lima kali, ia menandakan ada kematian melibatkan jenazah lelaki manakala tujuh kali bagi jenazah perempuan.

Pada waktu itu, hanya beduk ibu akan dipalu oleh imam atau bilal yang bertugas di masjid tersebut.

“Berbeza pada bulan puasa, sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak seawal usia tujuh tahun boleh memalu beduk.

“Waktu berbuka akan diiringi dengan tiga kali paluan pendek bagi menandakan waktu berbuka sebelum azan berkumandang.

“Bagi mengejutkan penduduk kampung untuk sahur, beduk akan dibunyikan sebanyak tiga sesi iaitu pada pukul 12 pagi, 3 pagi dan 4 pagi,” ujarnya yang sudah menjadi kariah masjid itu pada usia lapan tahun.

Tambahnya, sahur adalah waktu yang paling dinantikan oleh anak muda kerana mereka bebas menghasilkan irama beduk yang lebih rancak dan panjang antara 15 minit hingga satu jam.

“Tiga orang diperlukan dalam setiap masa untuk memukul beduk pada waktu sahur. Dua orang memukul beduk ibu dan seorang pemukul beduk anak.

“Kombinasi selang-seli paluan kedua-dua beduk ini kemudiannya akan menghasilkan irama yang seakan-akan tarian singa, sekali gus mampu mengejutkan penduduk daripada tidur untuk bangun sahur,” kongsinya.

Mohd. Shafiq mengakui, dia mengalami sakit tangan ketika mula memukul beduk pada usia sembilan tahun.

Menariknya, masjid itu tidak pernah menentukan giliran siapa yang harus memukul beduk.

Namun, tidak pernah berlaku pergaduhan walaupun dalam kalangan kanak-kanak kerana semuanya memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.

“Kebiasaannya, sesi pertama diserahkan kepada kanak-kanak. Seterusnya, golongan remaja mengambil alih untuk paluan lebih padu dan lama,” ujarnya.

Imam masjid, Mohd. Soleh Mokhtar, 48, berkata, beduk ibu yang terdapat di Balai Lintang Masjid Permatang Kuang itu dipercayai berusia sekurang-kurangnya 200 tahun.

Kedatangan British

Moyangnya yang juga cucu kepada pengasas Kampung Permatang Kuang, Yahya Abdullah, bercerita bahawa beduk itu pernah digunakan untuk memaklumkan kedatangan British kepada penduduk kampung pada tahun 1786.

Penjagaan yang rapi membolehkan asas beduk yang diperbuat daripada kayu balak hanyut di Sungai Penaga itu tidak pernah rosak.

Hanya permukaan yang diperbuat daripada kulit lembu telah ditukar sebanyak lima kali kerana pecah dan merekah.

“Kebanyakan anak kariah di kampung ini boleh memalu beduk sejak usia enam tahun lagi. Kami tidak pernah menjalankan kelas formal tetapi kebiasaannya pada bulan Ramadan, mereka dapat melihat abang atau ayah mereka memalu beduk.

“Keadaan itu akan mencetuskan minat kepada mereka untuk belajar dan menguasai kemahiran yang sama,” kongsinya yang sudah lebih dua dekad bergelar imam di masjid itu.

Tambah Mohd. Soleh, keadaan pada hari ini berbeza berbanding zaman kanak-kanaknya di kampung itu.

“Dahulu, beduk hanya boleh dipukul oleh ahli masjid walaupun pada bulan puasa.

“Saya sendiri pernah dimarahi dengan teruk oleh kariah masjid ketika curi-curi memukul beduk pada usia tujuh tahun.

“Kini, kami galakkan penglibatan golongan muda dalam meneruskan kelangsungan tradisi di kampung ini kerana mereka jugalah nanti yang akan memimpin dan memastikan warisan itu terpelihara,” ujarnya sambil ketawa kecil mengenangkan zaman kenakalan suatu ketika dahulu.

Menariknya, selain paluan beduk, masyarakat di kampung itu juga masih meneruskan tiga lagi tradisi yang wajib dilakukan pada setiap bulan Ramadan.

Ia termasuk menjamah hidangan berbuka puasa dan moreh menggunakan talam, bertadarus sehingga pukul 12 tengah malam serta menjalankan acara sukaneka pada malam terakhir puasa.

Menu popular

Bilal masjid, Yusof Rahman berkata, sepanjang 73 tahun menetap di kampung itu, amalan bergotong-royong memasak juadah berbuka dan moreh tidak pernah terhenti.

Setiap malam, lebih 80 talam makanan akan disediakan oleh kariah masjid untuk dinikmati penduduk serta orang luar yang berkunjung ke kampung itu.

Antara menu popular ialah nasi bersama gulai terung, nasi beriani dan ayam bakar.

Lebih manis, perbelanjaan bagi setiap jamuan ditanggung sepenuhnya secara bergilir oleh penduduk kampung tersebut.

“Kebiasaannya, tiga minggu sebelum Ramadan, masyarakat di sini akan mula menentukan tarikh dan juadah yang ingin disumbangkan bagi mengelak pembaziran kerana tarikh bertindih dan sebagainya.

“Tiada jumlah sumbangan dan menu ditetapkan kerana sejak dahulu, ia adalah tertakluk kepada keikhlasan penyumbang,” terangnya sambil menunjukkan kertas bersaiz A4 berisi senarai nama penyumbang bagi Ramadan tahun ini.

Sementara itu, seorang pelajar, Mohd. Hafiz Mohd. Soleh, 18, berkongsi pengalaman mengenai malam raya di Kampung Permatang Kuang yang dimeriahkan dengan acara sukaneka pada setiap tahun.

Jelasnya, pelbagai permainan dianjurkan di pekarangan masjid pada malam itu.

Antaranya, acara kutip gula-gula dalam tepung, imbang badan di atas batang pohon kelapa dan kukur kelapa.

Bagi menarik minat golongan muda untuk terlibat sama, kariah masjid turut mencipta pertandingan yang lebih mencabar kemahiran seperti acara ‘basikal lambat’.

Acara ini memerlukan peserta mengawal pergerakan basikal melalui teknik imbangan badan.

“Siapa yang paling lambat sampai ke garisan penamat tanpa terjatuh dikira sebagai pemenang,” ceritanya teruja.

Tambah Mohd. Hafiz, dia bersyukur kerana tinggal di kampung berkenaan.

Tradisi turun-temurun menyambut Ramadan dengan paluan beduk, makan bertalam, bertadarus dan sukaneka pada malam raya sejak lebih 200 tahun lalu masih dikekalkan di Kampung Permatang Kuang, Penaga, Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×