SETIAP tahun Lembaga Tabung Haji, (TH) mengeluarkan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) tahun semasa kepada agensi pelancongan tempatan yang berkelayakan.
Bagi musim haji 1439 Hijrah, bersamaan dengan 2018, Tabung Haji meluluskan TH Travel & Services Sdn Bhd (TH Travel), iaitu anak syarikat milik penuh TH dan 21 lagi agensi pelancongan yang dikenali sebagai PJH untuk menawarkan perkhidmatan pakej haji. Kelulusan yang diberikan ini adalah selaras dengan peruntukan bawah Akta 535, Akta Tabung Haji 1995.
Senarai agensi pelancongan yang diluluskan oleh TH musim haji 1439H dipamerkan kepada orang awam melalui cara berikut:
- Dalam akhbar Utusan Malaysia pada 17 Februari 2018 dan New Sunday Times pada 18 Februari 2018;
- Di semua Pejabat TH Negeri/Pejabat TH Daerah;
- Di masjid-masjid;
- Di laman web TH: http//www.tabunghaji.gov.my; dan
- Menghubungi Tabung Haji Contact Center: 03-62071919
PILIHAN KEPADA JEMAAH
Tujuan TH meluluskan TH Travel dan agensi pelancongan untuk menawarkan perkhidmatan pakej haji ini adalah bagi memberikan pilihan kepada bakal haji untuk menunaikan haji sama ada secara:
1Muassasah, yang dikendalikan oleh TH sepenuhnya, atau
2 Menggunakan perkhidmatan pakej haji ditawarkan oleh TH Travel atau mana-mana 21 PJH yang diluluskan TH.
- Sekiranya jemaah haji didatangi seseorang yang mengaku sebagai ejen kepada TH Travel atau mana-mana PJH dan menawarkan perkhidmatan pakej haji, bagi mengelakkan daripada tertipu, bakal haji hendaklah memastikan ejen tersebut mempunyai surat pelantikan sah yang menggunakan ‘letter head’ TH Travel atau PJH yang berkenaan. Jika terdapat sebarang keraguan, sila berhubung terus dengan TH Travel atau PJH yang dinyatakan.
TH Travel dan setiap PJH menyediakan Brosur Perkhidmatan Pakej Haji (Brosur). Harga pakej yang ditawarkan di dalam Brosur adalah berbeza, bergantung kepada jenis pakej dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Harga yang dinyatakan di dalam Brosur ini adalah termasuk Bayaran Haji PJH 1439H/2018M sebanyak RM10,400. Bayaran akan didebitkan oleh TH dari akaun bakal jemaah haji. Bakal haji hanya perlu membuat bayaran kepada TH Travel atau PJH perbezaan antara harga pakej haji dan bayaran haji.
Brosur ini merupakan perjanjian antara syarikat dengan jemaah haji.
Dalamnya terkandung semua jenis perkhidmatan yang dijanjikan dan akan disediakan oleh TH Travel dan PJH kepada jemaah haji masing-masing. Jika TH Travel atau PJH gagal memberikan perkhidmatan seperti yang dijanjikan, jemaah haji boleh membuat aduan kepada Pejabat TH yang memantau perkhidmatan TH Travel dan PJH di Mekah dan Madinah.
Selaras dengan bayaran tambahan yang dikenakan, jemaah haji bakal mendapat perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah semasa di Mekah dan Madinah.
Antara perkhidmatan tersebut adalah seperti berikut:
- Bangunan penginapan yang lebih dekat dengan Masjidilharam atau Masjid Nabawi;
- Keadaan dalam bilik yang lebih selesa;
- Makan dan minum disediakan secara buffet, termasuk sarapan pagi; dan
- Nisbah petugas lebih ramai untuk menjaga kebajikan dan memberi perkhidmatan kepada jemaah haji.
Semua jemaah yang menunaikan haji melalui TH Travel atau melalui mana-mana PJH adalah juga jemaah haji TH. Sehubungan itu, mereka layak dan boleh menggunakan semua perkhidmatan yang disediakan oleh TH sepanjang masa mereka berada di Tanah Suci secara percuma.
Antara perkhidmatan tersebut adalah seperti berikut:
- Perkhidmatan pengeluaran wang;
- Perkhidmatan perubatan;
- Perkhidmatan kaunseling; dan
- Perkhidmatan Talian Ibadah, atau TAIB ringkasnya.
SEMUANYA DIPANTAU
Bagi memastikan jemaah haji menerima perkhidmatan seperti dijanjikan, perkhidmatan yang diberikan oleh TH Travel dan PJH kepada jemaah haji masing-masing dipantau dan dinilai oleh Pasukan Pemantau yang dilantik oleh TH.
Pemantauan ini bermula dari pendaftaran jemaah haji, pengurusan pasport, urusan penerbangan, keberangkatan jemaah haji dari tanah air ke Tanah Suci, sepanjang masa jemaah haji berada di Tanah Suci dan sehinggalah mereka pulang ke Malaysia.
Empat perkhidmatan utama yang dipantau oleh TH adalah seperti berikut:
- Bangunan penginapan jemaah haji;
- Makan minum yang disediakan kepada jemaah haji;
- Proses pergerakan jemaah haji; dan
- Perkhidmatan kebajikan yang diberikan petugas PJH kepada jemaah haji masing-masing.
Perlu diingatkan bahawa sebarang aduan yang hendak dibuat ke atas TH Travel atau PJH, aduan tersebut mestilah dibuat semasa masih berada di Tanah Suci. Ini adalah untuk membolehkan Pasukan Pemantau yang dilantik oleh TH untuk melakukan siasatan segera dan mendapatkan bukti ke atas aduan tersebut. Jika aduan dibuat setelah jemaah haji pulang ke Malaysia, siasatan dan bukti ke atas aduan tersebut susah atau tidak boleh diperoleh.
Sebagai penutup, saya ingin mengingatkan bahawa mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa lesen PJH dari TH adalah satu kesalahan. Mereka ini melanggar Akta Tabung Haji yang diluluskan Parlimen dan akan dikenakan tindakan undang-undang.
Oleh itu bakal haji yang berhasrat untuk menunaikan haji dengan menggunakan perkhidmatan pakej haji adalah dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan pakej haji disediakan oleh TH Travel dan PJH yang diluluskan lesen tahun semasa oleh TH.










