KUALA LUMPUR 10 Mei – Baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 1 Februari lalu, pelakon Niena Baharun, 25, dan suaminya Aliff Firdaus Abdul Hadi mengumumkan berita gembira apabila heroin Sayangku Kapten Mukhriz itu disahkan hamil tiga bulan.
Niena atau nama sebenarnya Amaniena Kamarul Baharun mengesahkan, dia mengetahui tentang berita tersebut sewaktu kandungan mencecah usia sebulan setelah membuat pemeriksaan kesihatan sejurus mengalami simptom awal kehamilan.
“Alhamdulillah, bayi ini adalah rezeki buat keluarga baharu saya serta diharap menjadi pengikat kasih antara saya dan suami untuk melayari bahtera perkahwinan yang baru dibina,” katanya kepada Utusan Online.
Niena juga hari ini telah memuat naik sekeping foto imbasan bayi yang dikandung di laman Instagram miliknya untuk berkongsi kegembiraan bersama peminat serta pengikutnya.
“Assalamualaikum semua from this little cutie. Alhamdulillah,” memetik kapsyen yang dimuat naik bersama foto tersebut.
Bintang drama bersiri Dia Anak Jeneral itu juga meminta semua peminatnya mendoakan kesihatannya serta bayi yang dikandung sehinggalah anak sulungnya itu dilahirkan kelak.
“Kami belum tahu lagi jantina anak dan tidak kisah sama ada lelaki atau perempuan,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE











