BANDAR BARU BANGI 23 Mei – Keenakan rasa menjadikan nasi lemak antara hidangan yang paling digemari dan sinonim dengan masyarakat negara ini.
Namun peredaran zaman menyaksikan makanan itu mengalami pelbagai perubahan dari segi cara penyediaan dan penggunaan bahan-bahannya.
Namun bagi peniaga nasi lemak di Bazar Ramadan Seksyen 6, di sini, Ishak Jamlus, 55, beliau tidak pernah cuba mengubah resepi nasi lemak yang dipelajari untuk menambah baik rasanya.
Bahkan katanya, keaslian rasa nasi lemak yang dipadan dengan sambal tumis yang dimasak menggunakan cili kering tanpa campuran bahan-bahan lain.
“Keaslian rasa nasi lemak ini masih dikekalkan walaupun ada penambahan lauk pauk seperti paru goreng, sardin, rendang daging dan yang terbaharu adalah ayam panggang bagi memenuhi citarasa pelanggan.
“Kami juga masih mengekalkan cara tradisional iaitu membungkus nasi lemak dengan menggunakan daun pisang bagi mengekalkan keenakannya sehingga lah waktu berbuka puasa,” katanya.
Ishak mula menceburi bidang perniagaan itu selepas bekerja sebagai pelayan restoran di Restoran Mamak. Kini sumber pendapatan itu digunakan untuk menampung pendapatan mereka sekeluarga.
“Saya mula memberanikan diri untuk membuka gerai di Seksyen 4 di sini. Alhamdulillah, kini sudah bertahan lebih daripada 25 tahun hasil sokongan daripada pelanggan tetap.
“Sempena bulan Ramadan ini, saya tidak melepaskan peluang untuk berniaga di Bazar Ramadan. Orang ramai boleh membeli nasi lemak ini dengan harga RM1.50 hingga RM5.50 bergantung kepada lauk-lauknya,” katanya.
Orang ramai yang ingin merasai nasi lemak Ishak boleh mengunjungi Bazar Ramadan Seksyen 6 berhampiran stesen minyak Shell di sini.











