KUALA LUMPUR 12 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta-merta berikutan kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Keputusan Najib melepaskan jawatan disandang beliau sejak 2009 itu dimaklumkan dalam satu sidang akhbar yang turut dihadiri oleh barisan kepemimpinan tertinggi UMNO termasuk daripada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.
Suasana sebak dan pilu dapat dirasakan sepanjang sidang akhbar kira-kira enam minit itu, namun Najib berpandangan keputusan tersebut perlu diambil berdasarkan prinsip tanggungjawab moral seorang pemimpin.
Beliau juga memaklumkan bahawa Biro Politik UMNO telah bersetuju supaya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berperanan dalam menjalankan tugas-tugas Presiden parti, manakala Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula mengambil alih tugas-tugas Timbalan Presiden.
Jelas Najib, kedua-duanya juga memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN.
“Ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri menyokong cadangan ini dan mereka akan memberi kerjasama yang sepenuhnya,” katanya di sini.
Dalam pada itu, Najib memberitahu, meskipun telah meletak jawatan, beliau tidak akan meninggalkan parti itu.
“Saya beri jaminan saya tidak akan tinggalkan UMNO, saya akan terus sokong UMNO sebab tidak ada parti yang ada tolok banding dengan UMNO dan BN. Insya-Allah UMNO akan terus hidup, insya-Allah,” jelas beliau.
Dalam sidang akhbar terakhir beliau sebagai Presiden parti itu, Najib turut menyarankan semua ahli supaya memberi sokongan yang padu, kerjasama erat selain kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya kepada kepemimpinan baharu dalam mendepani cabaran yang lebih serius.
Katanya, perkara itu bagi menentukan supaya sokongan dapat dikembalikan dengan UMNO dan BN boleh muncul kembali sebagai parti yang mendapat keyakinan serta kepercayaan rakyat.
“Saya tetap yakin bahawa jasa UMNO dan BN adalah terlalu besar kepada negara. Lebih 60 tahun segala kejayaan negara tidak dapat dinafikan daripada usaha perjuangan, sumbangan kepemimpinan UMNO serta BN,” ujar beliau.
Najib juga percaya kekalahan itu memberi peluang kepada parti untuk memperbaiki apa sahaja kelemahan dan kekurangan yang ada meskipun kebanyakan faktornya adalah berkisar kepada soal persepsi berbanding realiti.
“Tetapi itulah the name of the game dalam politik. Siapa menang perang persepsi, dia mungkin dapat kuasai sokongan rakyat,” kata beliau.










