PUTRAJAYA – Selepas tujuh jam memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Najib Razak beredar menaiki kenderaannya Toyota Vellfire pada pukul 4.50 petang tadi.
Bekas Perdana Menteri itu kelihatan tenang ketika keluar dari bangunan ibu pejabat SPRM di sini dan memasuki kenderaannya.
Selasa lepas, Najib memberi keterangan selama lima jam.
Belia diminta hadir memberi keterangan berhubung siasatan skandal penyelewengan dalam SRC International Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat 1Malaysia Development (1MDB).
Najib ketika ditemui berkata, sesi memberi keterangan sudah selesai.
“Mereka (SPRM) kata sesi beri keterangan selesai,” katanya.
Kertas siasatan skandal tersebut yang sebelum ini ditutup telah dibuka semula dengan arahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang mengambil alih pentadbiran negara selepas Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Dalam pada itu, kira-kira 100 anggota media terdiri daripada jurugambar dan wartawan dalam dan luar negara turut hadir di pejabat SPRM bagi membuat liputan kes membabitkan bekas Perdana Menteri itu. – K! ONLINE










