SAYA adalah salah seorang pengguna tetap perkhidmatan transit aliran massa (MRT) dari Kajang ke ibu negara. Walaupun telah hampir setahun pengangkutan awam itu diperkenalkan, rakyat masih belum mengetahui statistik rasmi sama ada ia mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota.
Pada pandangan saya, kesesakan lalu lintas di ibu kota masih seperti biasa. Angka jualan kenderaan baharu juga tidak berkurangan. Jadi apa kesudahannya dengan usaha menangani masalah kesesakan lalu lintas ini?
Walaupun MRT diwujudkan dengan belanja berbilion ringgit untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, tetapi Kuala Lumpur masih lagi sesak dengan kenderaan.
Melalui pengamatan saya, tempat meletak kereta di stesen-stesen MRT pinggir bandar memang sesak dan adakalanya penuh tetapi lokasi yang sama di dalam bandar kerap kali kosong.
Bagi saya, ini petanda penduduk dalam bandar masih suka berkereta dan kurang menyokong kewujudan MRT.
PAK TUA YUNUS
Kajang, Selangor









