KOTA KINABALU – Seramai 10 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua ADUN dilantik iaitu Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Stephen Wong mengangkat sumpah sebagai anggota jemaah menteri Sabah di sini hari ini.
Bagi ADUN Api-Api, Christina Liew; Ahli Parlimen Tuaran, Madius dan ADUN Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong masing-masing dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Pada masa sama, mereka turut memegang portfolio Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (Christina), Menteri Perdagangan dan Perindustrian (Madius) dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (Jaujan).
Sementara itu, tiga lagi ADUN mengangkat sumpah bagi mengisi kementerian baharu yang diwujudkan di bawah pentadbiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Mereka ialah Stephen Wong (Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat), Datuk Dr. Yusuf Yacob (Menteri Pelajaran dan Inovasi dan Datuk Aidi Moktar (Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri).
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dijawat oleh Datuk Peter Anthony; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Junz Wong;Menteri Pembangunan Luar Bandar, Ewon Benedick manakala Poon Ming Fung pula dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Istiadat angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini pada pukul 4.07 petang hari ini.
Turut hadir ialah Mohd. Shafie merangkap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) yang juga memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Warisan dengan kerjasama Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan selepas memperoleh majoriti mudah 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk enam ADUN Barisan Nasional (BN) Sabah yang mengumumkan keluar parti dan menyertai Warisan.
Berikut adalah senarai penuh barisan Menteri Kabinet Sabah:
Menteri Kewangan
Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal
Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar
Christina Liew
Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian
Datuk Seri Wildfred Madius Tangau
Tinbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan
Datuk Jaujan Sambakong
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat
Stephen Wong
Menteri Pelajaran dan Inovasi
Datuk Dr. Yusuf Yacob
Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri
Datuk Aidi Moktar
Menteri Pembangunan Infrastruktur
Datuk Peter Anthony
Menteri Pertanian dan Industri Makanan
Junz Wong
Menteri Pembangunan Luar Bandar
Ewon Benedick
Menteri Belia dan Sukan
Poon Ming Fung










