MKM nafi tipu jemaah haji VIP - Utusan Malaysia

MKM nafi tipu jemaah haji VIP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Mei – Pengelola jemaah haji, MKM Ticketing Travels & Tours (MKM) menafikan dakwaan syarikat tersebut menipu 94 jemaah Haji Furada atau haji orang kenamaan (VIP) pada musim haji tahun lalu.

Pengurus haji MKM, Humaidi Mat Jahaya berkata, syarikat tersebut tidak melakukan sebarang penipuan malah memenuhi segala yang dijanjikan kepada semua jemaah yang mengambil pakej berharga RM70,000 dan RM90,000 berkenaan.

Katanya, segala yang didakwa sebagai penganiayaan terhadap jemaah merupakan satu fitnah kerana MKM menyediakan segalanya termasuk tiket penerbangan pergi dan balik, penginapan di hotel Mekah dan Madinah, pengangkutan, khemah di Mina dan Arafah serta makan minum mereka dijaga rapi.

“Apabila penerbangan lewat dua jam, kami dituduh menipu sedangkan perkara itu berlaku di luar kemampuan. Mengenai isu khemah, memang kami sediakan khemah VIP kepada semua jemaah tersebut namun ketika hari sebelum melontar jamrah jalan ditutup.

“Pihak polis Arab Saudi mengawal laluan tersebut dan menutup jalan dengan batu dan itu menjadi punca mengapa jemaah terpaksa berjalan sejauh 10 kilometer (km) dan bas tidak boleh akses ke sana. Isu bas ada di khemah sebelah pula, jemaah negara lain menuju ke Arafah sedangkan kami ke Mina,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Dua individu hari ini membuat sidang akhbar bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa MKM selaku syarikat pelancongan tempatan yang dilantik sebagai PJH melakukan penipuan terhadap 94 jemaah haji tahun lalu menerusi pakej Haji Furada.

Sheikh Muhammad Shakhir dan Datuk Sofian Mohd. Salleh mendakwa mereka tidak menerima layanan sepatutnya daripada syarikat pelancongan tersebut hingga terpaksa berjalan kaki 10km, tidak mendapat penginapan yang dijanjikan dan mendapat makanan yang terhad.

Sementara itu, mengulas lanjut, Humaidi berkata, dakwaan makanan terhad itu timbul kerana salah faham yang berlaku antara kelompok jemaah tersebut dan penjaga bahagian sajian di sana.

“Timbul salah faham apabila mereka masuk ke tempat hidangan antarabangsa sedangkan jemaah haji ini sepatutunya makan di bahagian Asia Tenggara yang mana menunya memenuhi citarasa rakyat negara ini. Mereka ada buat aduan dan kita sudah jawab semua ini.

“Mengenai bayaran RM300 itu merupakan saguhati yang kami bayar atas tanda belas kasihan dan bukannya nilai pampasan yang ditawarkan. Ini kerana syarikat tidak bersalah dan perkara ini diketahui sendiri oleh Tabung Haji sendiri,” tegasnya.

Humaidi berkata, syarikat tersebut merasa teraniaya akibat pendedahan yang dibuat dan secara tidak langsung menjejaskan imej syarikat.

“Kami bukan syarikat pelancongan baharu yang menguruskan hal-hal berkaitan haji dan umrah cuma lesen haji diterima dalam dua hingga tiga tahun lalu. Kami berpengalaman luas lebih 10 tahun dalam bidang ini dan tahu cara terbaik menguruskannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN