Masa hadapan positif selepas peralihan kerajaan yang lancar - KWSP - Utusan Malaysia

Masa hadapan positif selepas peralihan kerajaan yang lancar – KWSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal optimis dengan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang susulan penubuhan kerajaan  baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dalam kenyataan, dana persaraan itu berkata ia menjangka sebarang kemungkinan kejatuhan pasaran jangka pendek akan menyediakan peluang pelaburan yang lebih untuk pasaran domestik.

“Kami telah lama melabur di negara ini dan percaya asas ekonomi negara akan kekal kukuh.

“Ketidaktentuan  jangka pendek adalah sesuatu yang dijangka memandangkan negara, buat kali pertama, mengalami peralihan kuasa.

“Namun proses peralihan kuasa yang lancar setakat ini berupaya meyakinkan pelabur akan kematangan demokrasi dan ekonomi Malaysia.” kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Saranan kerajaan baharu agar institusi  tempatan  terus meningkatkan penambahbaikan tadbir urus korporat, seiring dengan tahap kawal selia yang lebih tinggi oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, akan memberi kesan yang baik kepada persekitaran perniagaan tempatan, katanya.

 Shahril mengesahkan KWSP akan terus melabur berdasarkan prinsip pelaburan sedia ada dan parameter risiko yang ditetapkan.

Dana itu sentiasa menumpukan kepada memberi pulangan kepada ahlinya sebanyak dua peratus melebihi kadar inflasi dan strategi pelaburan yang sentiasa fokus kepada aset dan syarikat yang boleh menepati objektif ini.

“Kami berasa sukacita kerana manifesto kerajaan  baharu ini secara tidak langsung menyokong visi KWSP untuk memberikan masa  depan yang lebih baik kepada 13.7 juta ahli kami.

“Kami  mengalu-alukan fokus kerajaan  untuk terus memperbaiki rangka kerja gaji minimum dan menggalakkan simpanan secara sukarela terutamanya untuk golongan suri rumah,” katanya. – BERNAMA

 

                  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×