KANGAR 24 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis berjaya menumpaskan cubaan sekumpulan lelaki untuk menyeludup masuk sebanyak 401 kilogram syabu bernilai RM29 juta melalui jalan laut di Kuala Perlis di sini semalam.
Dalam rampasan yang dipercayai terbesar pada tahun ini, sebanyak 378 bungkus plastik tertera tulisan serbuk teh dalam bahasa Cina yang disumbatkan di dalam lapan buah beg berwarna hitam, dirampas.
Kejayaan itu juga berjaya menghalang dadah tersebut daripada digunakan oleh seramai 800,000 orang penagih.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, kejayaan itu bermula hasil daripada pengesanan satu objek mencurigakan melalui radar sebuah bot agensi tersebut yang sedang menjalankan Op Pagar Laut, pada pukul 2.25 pagi.
Katanya, berikutan itu bot telah pergi ke lokasi tersebut lalu menemukan sebuah bot pancung yang dinaiki tiga lelaki.
“Bot kita telah mengejar bot tersebut tetapi tiga suspek itu bertindak melarikan diri dan mencampakkan lapan buah beg ke dalam laut.
“Mereka kemudian menghilangkan diri bersama bot tersebut ke perairan sempadan negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar mengenai kejayaan itu di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd. Said.
Tambah Zulkifli, pihaknya percaya terdapat pihak ketiga yang menunggu kemasukan kesemua dadah itu daripada negara jiran dipercayai untuk pasaran tempatan.
Kata beliau, kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE










