SUDAH menjadi kelaziman apabila berhadapan dengan pilihan, setiap individu mempunyai penilaian yang tersendiri ketika membuat keputusan. Walaupun berbekalkan pelbagai bentuk maklumat yang disalurkan oleh kumpulan yang berkepentingan tetapi hakikatnya adalah keputusan yang dibuat adalah pilihan individu berkenaan.
Begitu jua dalam senario Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), walaupun dipujuk dan dirayu oleh parti politik, keputusan akhir adalah tanggungjawab pengundi dan tidak ada pihak yang boleh memaksa kumpulan pengundi membuat keputusan tertentu.
Sebab itu amat kritikal setiap pihak perlu menerima keputusan PRU-14 kerana pihak yang berjaya membentuk kerajaan sama ada di peringkat Pusat atau negeri telah melepasi ujian proses demokrasi yang diamalkan Malaysia sejak enam dekad lalu. Walaupun keputusan tidak menyebelahi dengan pilihan yang telah dibuat tetapi demokrasi melalui pilihan raya menilai setiap undi yang dimiliki oleh rakyat Malaysia yang berkelayakan mempunyai nilai pengaruh yang sama.
Umpamanya, sistem demokrasi Malaysia tidak membezakan undi yang dibuat oleh pengundi di Parlimen Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan pengundi di Parlimen Kanowit, Sarawak kerana setiap satu undi itu sama nilainya yang menentukan keputusan percaturan kawasan berkenaan. Sebab itu juga hujah yang menjurus kepada andaian bahawa tidak adil nilai undi pengundi kawasan pedalaman seperti Kanowit diberi nilai yang sama dengan pengundi bandar yang menetap di Lembah Pantai umpamanya kerana di kaca mata demokrasi Malaysia kedua-dua pengundi tersebut memikul tanggungjawab yang sama beratnya.
Sikap menerima keputusan PRU dan ia tidak hanya terhad kepada keputusan PRU-14 adalah penting kerana Malaysia tidak mampu melalui suasana berpolitik setiap masa kerana ini akan mengganggu tadbir urus sesebuah negara dari menjadi lebih lancar. Malaysia tidak boleh lagi melalui fasa seperti yang dialami selepas keputusan PRU-13 pada 2013 kerana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut enggan menerima hakikat yang dihadapi.
Begitu malang sekali buat rakyat Malaysia yang telah melaksanakan tanggungjawab demokrasi dengan sempurna pada 5 Mei 2013 tetapi masih berhadapan dengan segelintir golongan yang masih tidak mahu menerima keseluruhan keputusan pilihan raya. Malah begitu ironis sekali golongan yang sama juga telah mengadu kepada negara kuasa besar supaya melakukan sesuatu dalam usaha untuk menggambarkan bahawa proses demokrasi negara telah tercemar dengan penipuan dan manipulasi. Harapannya adalah senario 2013 tidak berulang demi kepentingan negara masa hadapan yang sudah pasti cabarannya adalah lebih getir.
Akibat daripada keengganan menerima keputusan PRU-13, rakyat diheret dalam kancah politik yang mengakibatkan kehidupan seharian selama lima tahun lalu begitu dibayangi oleh warna-warni politik tanah air. Senario sebegini tidak sihat bagi mana-mana negara sama ada yang maju atau membangun kerana setiap keputusan yang dibuat rakyat lazimnya berpandukan kepada pegangan prinsip politik masing-masing dan bukannya kerana kepentingan negara masa hadapan.
Senario sebegini akan memberi tekanan kepada sistem tadbir urus negara yang lebih efisien kerana setiap dasar yang dibentuk perlu juga dinilai kesannya dari segi faktor politik dan di sini timbul kegusaran dasar yang diperkenalkan itu kadang kala tidak menepati keperluan jangka masa panjang rakyat dan negara.
Tidak kira parti politik mana yang dipilih ketika mengundi tetapi apa yang penting adalah barisan Kabinet yang bakal dibentuk adalah untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa dipertahankan dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira fahaman ideologi politik masing-masing.
Bukan menjadi suatu kesalahan rakyat mempunyai pegangan politik berlainan malah itulah maksud sebenar demokrasi kerana pilihan yang dibuat bukan secara paksaan tetapi atas kerelaan masing-masing. Tetapi agak mengaibkan apabila perbezaan ideologi politik ini menjadi kekangan untuk meneruskan kelangsungan kehidupan seharian dan menjadi lebih sedih lagi apabila perbezaan ideologi politik ini digunakan secara berterusan selepas selesainya proses pemilihan.
Sebab itu, menjadi tanggungjawab setiap ahli politik terutama sekali yang bertanding tidak kira sama ada berjaya atau gagal dalam percaturan kali ini untuk mempamerkan teladan yang betul bagaimana untuk menghadapi era pasca PRU-14. Jika teladan yang akan dipamerkan mengikut mirip pasca PRU-13, maka akibatnya rakyat akan sentiasa dibelenggu oleh percaturan politik yang tidak memberi manfaat kepada proses membangun negara.
Tetapi jika semua ahli politik mampu bertindak matang maka rakyat akan menghargainya dan melupai segala perbezaan pendapat terutama sekali yang berlaku semasa 11 hari berkempen. Setelah lebih daripada enam dekad negara mencapai kemerdekaan dan melalui sebanyak 14 kali PRU, sudah agak pasti rakyat Malaysia begitu matang dalam hal demokrasi. Inilah masa terbaik untuk rapatkan saf.










