Lelaki warga Nigeria maut kemalangan jalan raya  - Utusan Malaysia

Lelaki warga Nigeria maut kemalangan jalan raya 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI – Seorang lelaki warga Nigeria berusia 34 tahun maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Taman Semarak (TS) utama di sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, kereta jenis Proton Saga FLX dipandu mangsa terbalik selepas bertembung dengan kereta jenis Lexus dipandu seorang wanita warga tempatan berusia 39 tahun.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Khairullizal Abu Kasim berkata, warga Nigeria yang terlibat dalam kemalangan itu, Audu Oyaele David disahkan maut di tempat kejadian. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami terima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 8.31 pagi dan seramai lapan anggota bersama dua buah jentera dikerahkan memberi bantuan.

“Anggota bomba mengambil masa selama 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan dipandunya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Khairullizal berkata, berdasarkan maklumat awam, kereta dipandu warga Nigeria tersebut hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan apabila tiba di tempat kejadian.

Menurut beliau, kereta itu kemudian bertembung dengan kereta jenis Lexus yang datang dari arah bertentangan menyebabkan kereta Proton Saga FLX itu terbalik.

Kata beliau, kemalangan itu menyebabkan warga Nigeria berkenaan tersepit, manakala pemandu Lexus mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Mangsa wanita di hantar ke hospital berhampiran oleh orang awam,” katanya.

Kosmo! difahamkan lelaki Nigeria itu memiliki kad pelajar antarabangsa yang telah luput sejak tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini