KUALA LUMPUR – Tiga syarikat China melabur sebanyak RM1.2 bilion di Malaysia pada minggu pertama pembentukan kerajaan baharu yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kata Duta China ke Malaysia, Bai Tian.
Katanya, ini menjadi bukti pengiktirafan syarikat China terhadap suasana perniagaan di Malaysia dan kepercayaan terhadap pentadbiran kerajaan baharu.
Bai Tian berkata, tahun ini adalah ulang tahun ke-44 hubungan diplomatik China dan Malaysia.
“China akan bekerja seiring dengan kerajaan baharu Malaysia, untuk terus mewarisi dan membangunkan setiakawan untuk generasi berikutnya, mengembangkan kerjasama yang memberikan faedah bersama dan memberi sokongan antara satu sama lain.
Melalui usaha bersama, kedua-dua kerajaan berupaya membangun dengan cara yang unggul, cepat dan kukuh, memulakan perjalanan baharu dan mencapai kejayaan yang lebih hebat,” katanya dalam satu kenyataan
Katanya, 44 tahun lalu, Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang mengadakan hubungan diplomatik dengan China, membuka fasa baharu antara dua negara hebat.
“Selain itu, pemimpin kedua-dua negara sentiasa mengekalkan arah tuju hubungan China-Malaysia dan pada masa sama menilai situasi serta memenuhi keperluan semasa,” tambahnya. – Bernama










