KUALA LUMPUR 24 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan memberi jaminan tidak akan meminggirkan kumpulan kontraktor bumiputera, malah mahu menyediakan kaedah bantuan yang lebih baik bagi memastikan nasib mereka terbela terutama untuk menyaingi kontraktor bukan bumiputera.
![]() |
|
Mokhtar Samad
|
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad berkata, perkara itu dinyatakan kepada beliau oleh Tun Daim Zainuddin, yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan dalam pertemuan yang diadakan di Menara Ilham di sini hari ini.
Kata Mokhtar, Daim sendiri yang merupakan seorang kontraktor bumiputera amat memahami masalah-masalah yang sering dihadapi oleh kontraktor bumiputera dengan kebanyakkan daripada mereka hanya menjalankan kerja-kerja berskala kecil.
“Saya mengakui bahawa kontraktor bumiputera masih memerlukan tongkat (bantuan kerajaan).
“Oleh itu kerajaan baharu ini akan tetap membantu kami dengan kaedah-kaedah yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan pakar ekonomi, Profesor Dr. Jomo Kwame Sundaram yang kedua-duanya merupakan anggota Majlis Penasihat Kerajaan.
Kata Mokhtar, ketika ini terdapat hampir 40,000 syarikat kontraktor bumiputera yang berdaftar dengan 22,000 daripada jumlah itu merupakan kumpulan G1 atau Kelas F.-UTUSAN ONLINE











