Kolam renang ‘hilang’, pusat riadah ditutup - Utusan Malaysia

Kolam renang ‘hilang’, pusat riadah ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRISTOL 13 Mei – Sebuah pusat riadah terpaksa ditutup selepas tercetus misteri apabila sebuah kolam renang secara tiba-tiba ‘hilang’ di Parish Wharf, Portishead dekat sini.

Misteri kehilangan kolam itu disedari oleh kakitangan pusat tersebut yang mahu memulakan tugas pagi semalam.

Mereka mendapati hanya terdapat sebuah lubang berjubin di kawasan yang sepatutnya menem­patkan sebuah kolam renang.

Difahamkan kira-kira se­te­ngah juta liter air hilang semalaman, lapor portal Mirror.

Kakitangan pusat tersebut kebingungan tentang kehilangan kolam itu, namun sekumpulan ju­rutera mendapati ‘terdapat ke­ro­sakan pada injap buangan’.

Orang ramai yang mahu berenang merasa kecewa dan terpaksa diarahkan pulang kerana pihak pusat riadah tersebut memerlukan beberapa hari untuk memenuhi kolam itu dengan air.

Malah air tersebut perlu dipanaskan, dirawat dan diuji sebelum dibuka semula kepada orang awam.

Seorang jurucakap pusat ber­ke­naan yang diuruskan Places for People for North Somerset Council memberitahu Bristol Post bahawa kolam itu terpaksa ditutup akibat ‘masalah teknikal da­lam bilik loji yang me­ngalami kerosakan injap buangan menyebabkan air dalam kolam utama kering dalam tempoh semalaman’.

“Kami berharap kolam utama itu akan dibuka semula awal minggu depan dan memboleh­kan kami mengisi air dan memanaskan serta merawat air sejajar dengan peraturan,” katanya.

Pihak berkenaan juga berkata, air dalam pusat itu tidak terjejas justeru pusat tersebut masih dibuka kepada orang ramai.

Walaupun masalah utama te­lah dikesan, namun kakitangan pusat berkenaan masih terta­nya-tanya bagaimana air dalam kolam itu ‘hilang’ dengan pantas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×