KUALA LUMPUR – Jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan berkata, beliau gagal beraksi dengan baik pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 yang berakhir hari ini kerana masih gagal mengembalikan semula prestasi terbaiknya.
Bercakap kepada Bernama, Khairul Hafiz, yang dikenali sebagai ‘Speedy Jantan’, mengakui beliau sedang bergelut untuk kembali menemukan rentak terbaiknya dalam acara 100m dan 200m, sejak mengalami kecederaan otot paha pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) Ogos tahun lepas.
“Buat masa ini kondisi badan saya tidak begitu selesa untuk berlari mungkin disebabkan kecergasan otot saya masih di tahap lemah. Sejak pulih daripada kecederaan, saya berusaha keras untuk mencapai tahap terbaik tetapi mungkin disebabkan beberapa kekangan, apa yang saya inginkan tidak tercapai.
“Sepanjang sembilan bulan lepas saya mengharungi beberapa situasi yang ada kalanya mengganggu emosi saya. Antaranya, saat berlatih tanpa jurulatih (Mohd Poad Md Kassim) yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman di paru-paru, tetapi semua itu menjadikan saya seorang atlet yang lebih matang,” katanya.
Semalam, pemenang pingat emas temasya KL2017 berusia 20 tahun itu menamatkan saingan 100m di tempat kelima dengan catatan 10.64 saat (s) dan merekodkan masa 21.27s untuk meraih pingat gangsa acara 200m di Stadium Nasional Bukit Jali di sini hari ini. – Bernama









