KUALA TERENGGANU 10 Mei – Menteri Besar Terengganu yang baharu, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberi jaminan sebarang penambahbaikan yang bakal dilakukan dalam proses peralihan kuasa di negeri ini kelak tidak akan menganiaya mana-mana pihak.
Ahmad Samsuri berkata, ini sebahagian daripada mesej kasih sayang untuk semua golongan tanpa mengira bangsa yang merupakan aspirasi Pas ke arah mewujudkan sebuah kerajaan untuk rakyat.
“Kita ingin mengurangkan seminimum mungkin masalah akibat pertukaran kerajaan kerana apa yang paling penting adalah kebajikan dan perjalanan hidup rakyat di samping jabatan dan agensi tidak terjejas.
“Kita akan pastikan tidak ada masalah dalam pengurusan kerajaan walaupun mungkin ada rombakan tetapi tanpa menganiaya mana-mana pihak kerana itu adalah asas kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas istiadat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu di Istana Syarqiyyah, di sini malam tadi.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan menerima watikah pelantikan itu berlangsung di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ahmad Samsuri yang berkelulusan Doktor Falsafah Aeroengine Ignition and Combustion High Altitude Engine Failure dari Universiti of Leeds, United Kingdom merupakan Setiausaha Politik kepada Presiden Pas dan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.
Beliau yang berasal dari Besut merupakan pakar aeroangkasa dan menjadi rujukan semasa kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan menerima watikah pelantikan itu turut membabitkan 10 anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu.
Ahmad Samsuri berkata, Pas juga akan mencari jalan terbaik untuk menyempurnakan, menambah baik dan memastikan projek-projek pembangunan yang sedang dilaksanakan tidak membebankan rakyat bahkan, memberi limpahan ekonomi.
Katanya, Pas yang mempunyai perancangan jangka panjang apa yang ingin dicapai di Terengganu berjanji akan meneruskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat di samping menambah bantuan baharu yang mungkin sebelum ini tertinggal atau diabaikan. – UTUSAN ONLINE










