PETALING JAYA 24 Mei – Pejabat Peguam Negara menolak representasi dikemukakan oleh pelakon filem KL Gangster, Sofi Jikan yang didakwa atas tuduhan memasukkan dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) ke dalam badannya, tiga bulan lalu.
Keputusan menolak representasi bagi menarik balik pertuduhan terhadap Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Ly Jy kepada Majistret Nurul Huda Zakariya dalam prosiding di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Berikutan keputusan itu, mahkamah menetapkan 6 Jun ini untuk pengurusan kes bagi persediaan perbicaraan.
Pada 13 Februari lalu, Sofi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (THC) di Pejabat Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini kira-kira pukul 11.15 malam, 6 Februari lalu.
Sofi didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.- UTUSAN ONLINE










