PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan memperkenalkan sistem pembidaan nombor pendaftaran kenderaan secara dalam talian menerusi e-Bidding yang akan mula berkuat kuasa sepenuh menjelang tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan sistem tersebut bertujuan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan menerusi nombor-nombor pendaftaran kenderaan yang popular terutama dalam kalangan golongan yang berpendapatan tinggi di negara ini.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merupakan penyumbang hasil terbesar kepada kerajaan dan pada tahun lalu sahaja telah menyumbang sebanyak RM4 bilion daripada hasil lesen kenderaan motor, cukai jalan dan lesen memandu.
“Pendaftaran nombor kenderaan adalah satu daripada paling diminati oleh rakyat Malaysia dan pada tahun lalu nombor yang telah dibida menerusi sistem tender ialah sebanyak RM280 juta, jadi kita berhasrat untuk meliberalisasikan sistem ini kepada e-Bidding yang dijangka akan dapat dimulakan beberapa bulan lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja bersama JPJ di sini hari ini.
Bagaimanapun, Anthony menjelaskan, penjualan nombor pendaftaran kenderaan tersebut hanya melibatkan nombor istimewa sahaja dan rakyat masih boleh mendapatkan nombor tersebut pada harga yang sama. – K! ONLINE










