ALOR SETAR 24 Mei – Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berharap kemelut speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat diselesaikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tanpa perlu campur tangan istana.
Menurut beliau, pihaknya boleh mendapatkan campur tangan istana dalam soal pelantikan speaker DUN bagi mengelakkan berlakunya pilihan raya negeri namun memilih untuk mengadakan perbincangan dengan ADUN Pas dan Barisan Nasional (BN).
“Itu pun pandangan saya (mendapatkan campur tangan istana) tapi seboleh-bolehnya perkara ini perlu diselesaikan di peringkat kita (kalangan ADUN PH dan pembangkang).
“Saya berharap tak perlu perkara seperti ini diangkat untuk mendapatkan perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Amanat Menteri Besar dan Bicara Integriti Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman di sini hari ini.
Kata Mukhriz, pihaknya mengadakan pertemuan dengan BN dan dalam masa terdekat akan berjumpa Pas bagi berbincang mengenai soal pelantikan speaker DUN.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pihaknya dalam mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pertama semalam telah memutuskan untuk menggantung tugas kira-kira 1,900 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilantik kerajaan sebelum ini.
“Put on hold (jawatan JKKK), kalau ikut kenyataan Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) semalam nak bubarkan. Jadi kita perlu sedikit pengesahan daripada Pejabat Perdana Menteri.
“Satu pertemuan dengan pegawai daerah dan penghulu akan diaturkan bagi membincangkan kaedah terbaharu untuk salur bantuan secara terus kepada pihak memerlukan dan bagaimana untuk kita mahu menerima maklumat dari semua kawasan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










