BOSAN dan memualkan! Itulah dua komen yang penulis peroleh apabila berbincang dengan pelbagai pihak berhubung situasi politik di Perlis. Malang sekali, kemelut yang berlaku bukan berpunca daripada pertembungan antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan mahupun Pas tetapi kerakusan dan keghairahan dalam kalangan pemimpin BN sendiri untuk menentukan individu yang mereka pilih sahaja menjadi Menteri Besar (MB).
Walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Datuk Seri Azlan Man sudah mendapat perkenan Raja Perlis dan mengangkat sumpah sebagai MB namun Perlis kini menjadi satu-satu negeri yang masih bergolak dengan krisis politik.
Terbaharu, BN negeri akan menghantar senarai 11 nama baharu termasuk Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim kepada Raja Perlis untuk dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar, maknanya mereka tetap menolak Azlan yang sudahpun masuk ke pejabat untuk bekerja.
Sama ada suka atau tidak, orang tetap akan mengaitkan kesemua nama itu dengan Shahidan – ahli politik paling hebat dan cukup berpengaruh di Perlis sehingga terlupa BN bukan lagi berkuasa di peringkat Pusat.
“Maknanya kalau Tuanku memilih salah satu nama ADUN tersebut, mereka tetap akan menjadi ‘boneka’. Lagipun majoriti mereka terhutang budi kepada Shahidan kerana diberi peluang menjadi wakil rakyat,” kata seorang rakan di Kangar.
Difahamkan, apapun terjadi, kelompok pemimpin-pemimpin BN itu tetap mahu menang dalam pertarungan menentang Azlan, biarpun beliau paling layak menjadi MB.
Namun begitu apa yang berlaku di Perlis bukan sahaja tidak akan menguntungkan BN dan UMNO malah tidak akan mendatangkan apa-apa faedah kepada rakyat negeri itu terutamanya penyokong BN.
Tidak kira sama ada Ahli Parlimen mahupun ADUN di Perlis, adakah mereka merasakan hebat sangat sehingga masih mahu bermain politik ketika negeri-negeri lain sudahpun mula bekerja?
Penulis diberitahu, sebahagian mereka tidaklah popular di kawasan masing-masing tetapi mereka mencapai kemenangan disebabkan bertanding atas tiket BN. Kalau atas nama individu belum tentu mereka akan menang. Oleh itu janganlah rasa hebat sangat.
Kalau betul kesemua ADUN BN yang menentang pelantikan Azlan berasa mereka tetap mendapat kepercayaan rakyat, maka serah semula mandat kepada rakyat atau bahasa mudahnya adakan sekali lagi pilihan raya di Perlis.
Mungkin ia akan melibatkan kos dan masa tetapi itu sahaja pilihan yang boleh dilakukan bagi mengajar ADUN-ADUN berkenaan supaya belajar erti ‘masa untuk bekerja, bukan berpolitik sepanjang masa.”
Rakyat Perlis termasuk penyokong BN sudah berasa bosan dan muak dengan situasi politik di negeri tersebut, malah paling memualkan ia dicetuskan oleh watak-watak yang sama sahaja.
Sepatutnya dalam keadaan UMNO dan BN tumbang di banyak negeri, BN Perlis menunjukkan kemampuan parti itu untuk terus memerintah, tetapi malangnya pemimpin-pemimpin parti berkenaan lebih suka mahu berpolitik dan dianggap seolah-olah meletakkan kepentingan politik peribadi mengatasi kepentingan parti.
Kalau mereka tidak mempunyai niat tersebut, kenapakah menentang pelantikan Azlan? Apakah kerana beliau bukan ‘orang Shahidan’ dan lebih bijak daripada ADUN-ADUN lain maka beliau tidak layak disokong untuk menjadi MB?
Azlan mahu berkhidmat untuk rakyat kerana itulah mandat yang beliau terima, tetapi ADUN-ADUN di Perlis mahu berpolitik sedangkan pilihan raya sudah habis.
Tindakan tidak bijak ADUN-ADUN itu menyebabkan Perlis menjadi bahan lawak orang dan pada masa sama menimbulkan kemarahan rakyat negeri itu yang penulis percaya akan menolak BN secara total jika pilihan raya diadakan sekali lagi.
Kalaulah ADUN-ADUN tersebut tidak percaya dan begitu berani menolak pelantikan Azlan biarpun sudah mendapat perkenan Raja Perlis, letaklah jawatan beramai-ramai, beri laluan dan peluang kepada rakyat memilih sekali lagi? Soalnya beranikah mereka? Mungkin mereka hanya berani menentang Azlan sahaja tetapi tidak berani mengembalikan mandat kepada rakyat.
Bagaimanapun jika pilihan raya perlu diadakan, kali ini biarlah pemilihan calon ditentukan oleh Majlis Tertinggi UMNO dan Dewan Tertinggi BN. Tidak boleh lagi diserahkan kepada kepemimpinan peringkat negeri untuk menentukannya. Banyak cerita yang didengar dan paling penting tidak mahu apa yang berlaku akan berulang akibat bahana politik membalas budi, MB dilantik pun sanggup ditolak.
Episod politik di Perlis tidak harus dibiarkan berlaku lagi dan perlu dihentikan segera. Politik warlord harus dihapuskan di semua peringkat termasuk negeri.
Perlu diingat sehebat manapun seseorang pemimpin itu, rakyat yang meletakkan mereka berada di kedudukan tersebut. Oleh itu kepercayaan dan amanah rakyat tidak harus dikhianati dengan mainan politik yang cukup membosankan serta membuktikan perjuangan individu tertentu hanya demi kedudukan dan kuasa sahaja.
Kalaulah anggapan ini tidak betul, selesaikan segera kemelut tersebut yang penulis difahamkan tidak akan ditamatkan selagi Azlan tidak disingkirkan. Penulis percaya Raja Perlis akan membuat keputusan yang bijaksana bagi menangani krisis ini.
Tetapi dalam kalangan rakyat, percayalah mereka sudah muak dengan perangai sesetengah pemimpin UMNO Perlis. Mungkin pemimpin berkenaan akan menang dalam pertarungan dengan Azlan tetapi belum tentu menang bila berhadapan dengan rakyat. Kalau tidak percaya, kembalikan mandat kepada rakyat. Kita tengok siapa yang kena!









