BANGKOK 24 Mei – Pertembungan tradisi menentang juara 13 kali, Indonesia dalam suku akhir Piala Thomas malam ini cukup berat tetapi peluang tetap terbuka buat kedua-dua pasukan.
Tewas 2-3 kepada Denmark dalam perlawanan terakhir Kumpulan D semalam bukan sahaja menyaksikan Malaysia terpaksa berdepan Indonesia lebih awal, malah bakal dinanti oleh China andai berjaya ke separuh akhir.
Pengurus pasukan negara, Datuk Ng Chin Chai bagaimanapun percaya, peluang Malaysia untuk menang tetap ada biarpun di atas kertas lawan mereka dianggap pilihan dalam perlawanan ini.
“Saya percaya, China, Denmark, Indonesia atau Jepun yang menjuarai kumpulan mereka memiliki kekuatan hampir sama dengan kami.
“Saya menjangkakan, pertemuan menentang Indonesia akan berlangsung sengit seperti mana ketika kita menentang Denmark. Ia mungkin boleh berakhir sehingga lewat malam sama seperti hari ini (semalam),” kata Chin Chai.
Kedua-kedua beregu negara gagal menghadiahkan mata ketika menentang Denmark, dan sekiranya mereka gagal meningkatkan prestasi menjelang aksi dengan Indonesia ia pasti mengundang masalah.
Indonesia memiliki beregu yang kuat diketuai pasangan No. 1 dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sukamuljo.
Kepulangan semula bekas juara dunia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dijangka menguatkan lagi cabaran negara itu.
Peluang terbaik Malaysia untuk mencuri mata dilihat cerah dalam perseorangan, diketuai oleh Datuk Lee Chong Wei yang dijangka menentang Anthony Ginting.
Prestasi baik Lee Zii Jia dalam tiga perlawanan pertama dijangka membolehkan pemain berusia 20 tahun itu diturunkan menentang Jonatan Christie dalam perseorangan kedua.
Begitupun Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang gagal menumpaskan Jan O Jorgensen dalam aksi penentuan menentang Denmark mungkin ditukar dengan juara remaja Asia, Leong Jun Hao untuk bertemu Ihsan Maulana Mustofa.
“Saya masih percaya Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Aaron Chiah-Teo Ee Yi (beregu) mampu bermain baik menentang Indonesia. Mereka memberi tentangan sengit biarpun kalah ketika bertemu Denmark,” kata Chin Chai lagi.- UTUSAN ONLINE










