PUTRAJAYA 21 Mei – Warganegara Switzerland yang juga bekas pegawai PetroSaudi International Ltd., Xavier Andre Justo hari ini sekali lagi bertemu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini hari ini.
Beliau kelihatan memasuki perkarangan bangunan menaiki kereta jenis Mercedes Benz itu kira-kira pukul 12.45 petang dan dilihat keluar pada pukul 2 petang.
Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown turut dikatakan akan bertemu Dr. Mahathir hari ini.
Justo dilaporkan telah bertemu Dr. Mahathir kelmarin.
Dia merupakan orang penting dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sebelum ini, dia pernah didakwa berkongsi maklumat mengenai badan pelaburan berkenaan dengan Clare.
Skandal 1MDB yang menjadi skandal antarabangsa sebelum ini diarahkan tutup oleh kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, selepas Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini, Dr. Mahathir mengarahkan siasatan 1MDB dibuka semula.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya hadir ke ibu pejabat itu esok.
Siasatan pada hari Selasa ini dikatakan berkisar kepada anak syarikat 1MDB iaitu SRC International. – UTUSAN ONLINE











