Jabatan Peguam Negara bebas politik - Utusan Malaysia

Jabatan Peguam Negara bebas politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEWAKTU negara tercinta ini meraikan semangat baharu dan rakyatnya bergembira dengan perubahan positif bersandarkan satu harapan, kita mesti mengakui bahawa undian rakyat secara jelas menzahirkan penolakan mereka terhadap sebarang sikap angkuh, rasuah, kerahsiaan, urusan yang dilakukan secara tertutup dan penghakisan demokrasi serta Perlembagaan Persekutuan.

Sambil meraikan perubahan ini, kita sebagai rakyat mesti perlu sentiasa beringat bahawa perubahan itu diperoleh melalui kotak undian dan institusi demokratik tercinta.

Kita mencapai perubahan melalui kedaulatan undang-undang dan bukannya pembe­rontakan ganas. Kita juga perlu sentiasa berjaga-jaga supaya tidak kembali kepada kaedah pentadbiran lama, politik kroni dan politik kebencian seperti diamalkan selama ini.

Kejayaan kita berbuat demikian sebagai satu bangsa yang mampu menjadi penanda aras betapa kita berjaya berkembang sebagai satu negara.

Pada waktu penting seperti inilah institusi media yang tidak dikongkong perlu bersuara tanpa rasa takut atau berat sebe­lah, tanpa risau memikirkan bagaimana ia diterima umum.

Inilah demokrasi yang kita perjuangkan dan berjaya dicapai setakat ini dan kita perlu mempertahankan hak tersebut sampai bila-bila.

Mengambil kira apa yang dinyatakan di atas, maka sesuailah untuk kita menyen­tuh isu-isu membabitkan Pejabat Peguam Negara.

Kita perlu sedar, tanpa mengira keadaan politik semasa, Pejabat Peguam Negara adalah di luar kawalan politik malah bersifat polos politik.

Pelantikan jawatan ini dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan penyingkiran seorang Peguam Negara hanya boleh dilakukan dengan perkenan Seri Paduka dan perkara berkenaan termaktub dalam Artikel 145, Perlembagaan Persekutuan.

Pada peringkat ini, penting juga untuk kita mengambil kira dua isu mustahak iaitu:

• Tugas lain Peguam Negara juga sebagai anggota Lembaga Pengampunan dan menasihati Seri Paduka berhubung isu membabitkan pengampunan banduan.

• Pejabat Peguam Negara adalah agensi pendakwaan dan bukannya agensi siasatan. Ertinya ia bertindak cuma berdasarkan siasatan serta bukti yang dihimpunkan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) yang memang bersifat penyiasatan.

Pejabat Peguam Negara menerima banyak kritikan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila terdapat penulis upahan secara konsisten menye­rang serta mengutuk pejabat itu, malah juga diri dan keluarga Peguam Negara secara peribadi.

Serangan ini jelas dan berlaku sepanjang tahun lalu berdasarkan tuduhan kononnya Peguam Negara berhaluan kiri serta menyokong pembangkang ketika itu seperti PKR dan DAP.

Sepanjang serangan yang langsung tidak wajar itu, boleh dilihat bagaimana Peguam Negara memilih untuk mendiamkan diri dan mengingatkan kita bahawa pejabatnya polos politik dan beliau berkhidmat untuk Seri Paduka.

Semalam, Tan Sri Apandi Ali menegaskan beliau polos politik dan mengingatkan bahawa kedaulatan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan perlu sentiasa dihormati.

Katanya juga: “Saya tidak akan letak jawatan yang mana jawatan ini telah diperkenankan oleh Seri Paduka. Saya diasuh untuk sentiasa menjunjung titah Raja, kerana saya adalah seorang Melayu jati,” katanya.

Mesej yang jelas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×