KUALA LUMPUR 30 Mei – Isu pembatalan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dijangka dibawa ke mesyuarat Kabinet hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, hala tuju projek mega yang dilaksanakan pada zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) itu masih belum dibincangkan secara rasmi setakat ini.
Disebabkan itu, katanya, beliau akan merujuk kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara tersebut.
“Mengenai HSR, itu kena tanya Perdana Menteri terlebih dahulu.
“Setakat yang saya tahu, kami belum pernah berbincang mengenainya. Saya pasti akan membangkitkannya dalam mesyuarat Kabinet esok (hari ini),” katanya selepas menghadiri sambutan Hari Wesak di Kuil Buddha Maha Vihara, di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengesahkan kerajaan sudah membuat keputusan akhir untuk membatalkan projek HSR, namun akan mengambil masa kerana mempunyai perjanjian dengan kerajaan Singapura. – UTUSAN ONLINE










