MELAKA 15 Mei – Semua Agensi dan jabatan di bawah kerajaan negeri dinasihatkan untuk tidak melupuskan sebarang dokumen bagi mengelakkan daripada timbulnya syak wasangka dalam kalangan masyarakat.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, tindakan melupuskan dokumen-dokumen ketika ini boleh dilihat sebagai tidak menjaga sensitiviti awam terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Dalam tempoh sekarang, ia adalah satu tempoh sensitif. Kalau tindakan melupus ini dilakukan sekarang, ia hanya menimbulkan curiga dalam pemikiran masyarakat seolah-olah ada pihak mahu menyembunyikan sesuatu.
“Kerja-kerja melupus (dokumen) tu kita (sepatutnya) tangguh dulu. Apabila keadaan dah teratur dan Exco sudah mengangkat sumpah, baru lah mereka boleh meminta kebenaran untuk melupuskan sebarang dokumen,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung perkara tersebut di kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin. – UTUSAN ONLINE









